Friday, 22, November, 2024
Utama Nasional Kalimah Allah: Jangan politikkan sehingga Majlis Raja-Raja buat keputusan – Sultan Selangor

Kalimah Allah: Jangan politikkan sehingga Majlis Raja-Raja buat keputusan – Sultan Selangor

oleh Ammar Haziq
Perdana Menteri telah menghadap dan menyembah taklimat kepada Sultan Sharafuddin berhubung keputusan kerajaan menarik balik rayuan dalam kes Jill Ireland melawan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia di Mahkamah Rayuan baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar semua pihak tidak mempolitik, membangkit atau membahaskan isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam sehingga Majlis Raja-Raja membuat keputusan muktamad.

Dalam satu kenyataan, Sultan Sharafuddin menegaskan baginda telah menyatakan pandangannya berhubung perkara berkenaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa ia perlu dibawa kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) untuk dibincangkan.

Titah baginda, pandangannya itu turut dipersetujui Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memandangkan ia selaras dengan fungsi MKI yang bertanggungjawab menasihati Raja-Raja Melayu dalam menambah baik tadbir urus agama Islam di peringkat persekutuan.

“Beta juga berpandangan, memandangkan perkara ini melibatkan sensitiviti agama di Malaysia, isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam ini perlu dimuktamadkan dengan segara oleh pihak Kerajaan Malaysia dengan penuh hikmah dan tanggungjawab,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah, perdana menteri telah bersetuju dengan cadangan baginda untuk membawa isu tersebut kepada MKI pada Ogos sebelum ia diangkat kepada Majlis Raja-Raja pada Oktober nanti.

“Beta percaya pandangan MKI adalah penting untuk dimajukan kepada Majlis Raja-Raja dalam menetapkan dasar muktamad berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Malaysia.

“Beta menyeru semua pihak agar menghormati peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak dan kuasa Raja-Raja Melayu dalam menentukan perkara berkaitan agama Islam,” titah baginda lagi.

Perdana Menteri telah menghadap dan menyembah taklimat kepada Sultan Sharafuddin berhubung keputusan kerajaan menarik balik rayuan dalam kes Jill Ireland melawan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia di Mahkamah Rayuan baru-baru ini.

Pada 23 Mei lalu, Anwar memaklumkan kepada Dewan Rakyat , kerajaan sedang mengkaji untuk meminda atau membatalkan semua undang-undang yang bercanggah dengan keputusan Majlis Raja-Raja Melayu berhubung penggunaan kalimah Allah.

Menafikan tindakan menarik balik rayuan kes mahkamah baru-baru ini sebagai suatu kelemahan, Anwar berkata langkah berkenaan adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan ia tidak boleh dipertikaikan lagi di mana-mana mahkamah.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com