Monday, 29, April, 2024
Utama Nasional Agenda tingkatkan tatakelola diteruskan bagi hapus ketirisan dan pembaziran – PM

Agenda tingkatkan tatakelola diteruskan bagi hapus ketirisan dan pembaziran – PM

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan agenda untuk meningkatkan tatakelola di negara ini akan diteruskan dalam menghapuskan ketirisan dan pembaziran.

Beliau berkata tatakelola juga merupakan faktor penting untuk menarik pelaburan dan meningkatkan persekitaran perniagaan malah menjaga keselamatan rakyat dan sempadan negara.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata perkara itu ditekankan semasa pertemuan dengan ketua jabatan dan agensi penguat kuasa berkaitan jenayah kewangan di Kementerian Kewangan, petang semalam.

“Adalah dianggarkan negara mengalami kerugian hasil sebanyak RM5 bilion setahun manakala jenayah kewangan yang menyumbang kepada ekonomi bayangan menyebabkan kehilangan hasil cukai dianggarkan sebanyak RM70 bilion setahun.

Memandangkan trend jenayah kewangan yang semakin kompleks, saya arahkan kesepaduan dan kerjasama agensi kerajaan dengan lebih proaktif dan efektif,” katanya dalam hantaran di laman Facebook beliau malam tadi.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga berkata amalan perundangan berkaitan pengurusan aset yang disita dan dilucut hak akan ditambah baik sejajar dengan tadbir urus terbaik antarabangsa.

“Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) perlu menambah baik operasi pemantauan untuk memastikan usaha ini terus dipertingkatkan,” kata Anwar.

Sementara itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua anggota agensi berkaitan yang bertungkus lumus memerangi dan menumpaskan jenayah kewangan, selain menyeru kerjasama dan penglibatan rakyat untuk turut serta dalam usaha ini.

“Adalah menjadi harapan besar buat saya dan seluruh rakyat Malaysia agar kesemua warga dan anggota agensi untuk meneruskan usaha murni ini dan melaksanakan amanah dengan penuh integriti demi mengangkat martabat negara,” kata beliau.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com