AMPANG – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap perjalanan kempen selaman 14 hari bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bermula semalam dapat berjalan dengan sopan dan beradab.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut berpuas hati dengan perjalanan proses Hari Penamaan Calon di semua enam negeri semalam.
“Saya tengok proses (Hari Penamaan Calon) aman, teratur dan calon kemukakan dengan baik dan insyaAllah kita adakan kempen dengan cara tersusun, sopan dan beradab,” katanya ditemui media selepas bersarapan di sebuah restoran di sini semalam
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pimpinan utama Kerajaan Perpaduan khususnya daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang turut serta hari ini.
“Saya ucap terima kasih juga dengan kehadiran Premier Sarawak, Abang Jo (Tan Sri Abang Johari Tun Openg) dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor untuk memberikan sokongan sebaiknya kepada Barisan Nasional (BN),” katanya.
Terdahulu, Anwar yang diiringi Johari dan Hajiji meninjau proses penamaan calon di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Gombak membabitkan DUN Sungai Tua, Gombak Setia dan Hulu Kelang di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, Gombak.