Sunday, 28, April, 2024
Utama Politik Pertukaran saat akhir calon perkara biasa

Pertukaran saat akhir calon perkara biasa

oleh admin

KUALA LUMPUR: Pertukaran saat akhir calon Pakatan Harapan (PH) yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah proses biasa, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Pengerusi PH itu dipetik Bernama berkata pertukaran yang melibatkan calon daripada partinya, PKR semestinya dilakukan selepas melihat terdapat keperluan untuk berbuat demikian.

“Kita (PH) ada tiga tukar (pada saat akhir), satu di Kota Damansara (Selangor) dan juga di Kelantan dan Terengganu,” kata beliau ketika ditemui pemberita selepas bersarapan di sebuah restoran di Ampang Jaya di sini, semalam.

Perdana Menteri yang juga Presiden PKR bagaimanapun tidak memperincikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mana di Kelantan dan Terengganu yang terlibat dalam pertukaran saat akhir itu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pertukaran saat akhir calon PKR di kerusi DUN Kota Damansara yang dimaklumkan Naib Presiden yang juga Pengerusi PKR Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, lewat malam semalam.

Anwar berkata bagi DUN Kota Damansara, pertukaran melibatkan Aidi Amin Yazid yang sebelum ini diumum sebagai calon, digantikan oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor Muhammad Izuan Ahmad Kasim.

“Bagi Kota Damansara ini, dia ni (Izuan) Ketua AMK Selangor, dan kita pun (PKR) tak ada calon AMK di Selangor, jadi saya rasa wajar pertimbangkan meletakkan beliau sebagai calon dan saya harap ia disambut baik semua,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com