Thursday, 9, May, 2024
Utama Nasional Kerajaan tambah peruntukan jualan rahmah RM50 juta

Kerajaan tambah peruntukan jualan rahmah RM50 juta

oleh admin

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menambah peruntukan sebanyak RM50 juta bagi pelaksanaan program Jualan Rahmah sekali gus memastikan inisiatif itu dapat dinikmati oleh rakyat secara menyeluruh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata menerusi program di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), ia akan diperluaskan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara serta dilaksanakan secara berperingkat.

“Kementerian ada usulkan supaya kalau boleh Jualan Rahmah ini diperluaskan di setiap DUN di negara ini supaya dapat dikecapi oleh rakyat. Jadi kita perluaskan program meliputi seluruh negara.

“Tentunya ia mengambil kos yang lebih dan saya akan pastikan untuk disegerakan pelaksanaannya secara berperingkat. Kita luluskan tambahan RM50 juta ini.

“Kalau dana tak cukup, saya akan bincang dengan Menteri Kewangan untuk cari wang tambahan. Kita lakukan ini kerana ia menyentuh secara langsung golongan pendapatan rendah,” katanya berucap merasmikan sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2023 di sini, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kelantan berkata, tidak bermakna apabila membicarakan soal perjuangan, rahmah dan belas kasihan, namun soal makanan untuk golongan tersebut tidak terjamin.

“Tidak ada makna bicara soal rahmah, soal perjuangan, tidak ada erti bicara soal belas kasihan, kalau soal makanan mereka tak terjamin. Sebab itu dalam Belanjawan Madani, saya kata tahun ini 2023 mencatatkan 130,000 keluarga miskin tegar.

“Saya mesti noktahkan dan kita mahu sasarkan rekod di mana dengan keprihatinan dan belas kasihan dalam kalangan elit, profesional dan bisnes, tiada sebab untuk kita tidak boleh sekurang-kurangnya memberikan keperluan asas untuk komuniti miskin ini,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com