Monday, 29, April, 2024
Utama Politik Anak muda perlu semak dahulu kesahihan berita – Anwar

Anak muda perlu semak dahulu kesahihan berita – Anwar

oleh admin

ALOR SETAR – Rakyat khususnya golongan muda boleh menyemak dengan mudah menerusi Internet untuk mengesahkan pihak mana yang tidak bercakap benar mengenai sesuatu perkara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata ini termasuk mengenai isu pelaburan dari Jerman, Infineon Technologies AG (Infineon) di Kulim supaya mereka tidak tertipu dengan propaganda yang disebarkan oleh pihak tertentu yang mahu mengambil kredit daripada pelaburan tambahan berjumlah RM25 bilion itu.

Beliau berkata terdapat pihak yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah yang sanggup mengelirukan pengundi semata-mata untuk menang.

“Saya boleh kempen, saya boleh bercakap, tapi kalau diketahui Perdana Menteri itu telah mengelirukan rakyat, integriti jawatan itu telah rosak. Jadi walaupun saya kempen, saya nak Pakatan Harapan (PH) menang, saya nak Barisan Nasional (BN) menang, saya tak sanggup langgar peraturan itu.

(Tapi) Depa (pihak berkenaan) tak peduli…ini masalahnya. Sekarang anak muda boleh semak, Infineon bila keputusannya? Sebab Infineon hubungi kita secara terus, jadi saya tahu kebenarannya. Ada dia minta maaf? Dia maki lagu gitu jugalah,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Gagasan Generasi Muda Kedah MADANI di sini, malam ini.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini mendakwa pelaburan Infineon itu bukan hasil daripada usaha yang digerakkan oleh kerajaan pusat memandangkan syarikat itu telah lama beroperasi di Kulim.

Dalam ucapannya, Anwar turut mengulangi gesaannya supaya pengundi di Kedah memilih calon-calon daripada gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan sebagai wakil rakyat mereka.

“Kita mahu kerajaan yang boleh kerjasama dengan kerajaan pusat supaya kita boleh angkat martabat rakyat negeri Kedah. Ini bukan pasal dendam, bukan pasal sakit hati,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com