Saturday, 4, May, 2024
Utama Politik Anwar hormat keputusan rakyat

Anwar hormat keputusan rakyat

oleh admin

KUALA LUMPUR – Semua pihak diminta untuk menghormati keputusan rakyat yang diterjemahkan pada enam pilihan raya negeri (PRN) kali ini, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim

Perdana Menteri berkata keputusan yang berlaku semalam tidak akan menggugat Kerajaan Perpaduan
namun beliau mengakui perlu bekerja lebih untuk membangunkan ‘Malaysia Madani’.

“Dalam sistem demokrasi sama ada kita berserah atau tidak dengan keputusan, kita harus hormat keputusan rakyat. Hormat dalam erti kata bersedia menerima keputusan dengan baik.

“Kalau ada apa permasalahan pun (segala) perundangan, protes itu dibuat mengikut jalur hukum dan juga peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Bagi pihak Kerajaan Perpaduan, saya ingin beri jaminan terutama kerajaan persekutuan yang terus kekal dan kukuh selepas PRN ini. Kita akan terus bertungkus-lumus bekerja, berkhidmat sesuai dengan hasrat kita membangun Malaysia Madani dan dasar ekonomi Madani yang telah kita umumkan baru-baru ini.

“Insya Allah mulai Isnin kita akan terus bertugas bukan sahaja seperti biasa, tetapi lebih tekun dan keras bekerja supaya Malaysia akan mencipta kejayaan yang dibanggakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas mengikuti perkembangan keputusan enam PRN bersama pimpinan Kerajaan Perpaduan yang lain di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, malam tadi.

Anwar berkata sudah tiba masanya semua pihak menumpukan perhatian kepada membangunkan negara dan rakyat.

“Jadi setelah bertarung bersungguh-sungguh, kadang-kadang suhunya agak panas. Ini waktunya semua rakyat dari semua parti menang atau kalah harus bersilaturahim, menjaga keamanan negara dan menumpukan perhatian menangkap martabat negara serta membela nasib rakyat,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com