Thursday, 12, December, 2024
Utama Nasional PM lancar buku ‘Anwar Triumph’

PM lancar buku ‘Anwar Triumph’

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke perasmian buku mengenai perjuangannya, ‘Anwar Triumph’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Ahad.

Buku nukilan peguam jenayah dan penulis dari Australia, Mark Trowell KC itu berkisarkan perjalanan Anwar dalam perjuangan beliau, yang turut menggambarkan betapa rumitnya politik Malaysia.

Karya itu juga menceritakan kejatuhan dramatik gabungan Pakatan Harapan (PH) dan gejolak politik selepas tindakan yang diambil pihak tertentu untuk mengukuhkan kuasa.

Buku setebal 195 halaman itu turut mengandungi sejarah yang berlaku kepada Anwar dalam meniti perjalanan politiknya yang penuh warna-warni.

Menurut Trowell, tajuk ‘Anwar Triumph’ tidak hanya menggambarkan Anwar menjadi Perdana Menteri, tetapi juga untuk menghargai gerakan reformasi, yang telah diperjuangkan oleh Presiden PKR itu selama bertahun-tahun.

Tambahnya, buku itu juga menceritakan perjalanan luar biasa Anwar yang disulami dengan kemenangan, pengkhianatan politik, dan inisiatif berani untuk memperkukuhkan negara.

Turut hadir dalam majlis pelancaran buku itu ialah isterinya yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pada 24 November tahun lalu, PM Anwar mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri ke-10 itu berlangsung di Dewan Singgahsana Kecil, Istana Negara.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com