Monday, 29, April, 2024
Utama Nasional Kurangkan kebergantungan konsultan luar, beri kepercayaan penjawat awam laksana tugas

Kurangkan kebergantungan konsultan luar, beri kepercayaan penjawat awam laksana tugas

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (Maksak) diminta mengurangkan kebergantungan kepada konsultan luar, dengan memberi sepenuh kepercayaan kepada penjawat awam melakukan tugas dalam kapasiti dan keupayaan mereka.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali yang juga Yang Dipertua Maksak Malaysia berkata perkara tersebut, selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi rukun keyakinan yang digariskan dalam gagasan Malaysia MADANI, yang diperkenalkannya.

“Maksak perlu menggembling segenap kemahiran dan kepakaran ahli-ahli untuk menyahut cabaran Perdana Menteri ini, dengan mempertingkatkan kemahiran dan keupayaan pegawai-pegawainya.

“(Ini) terutamanya pegawai-pegawai muda untuk meneroka peluang-peluang baharu, bagi melaksanakan program dan inisiatif untuk mencapai matlamat yang telah digariskan oleh kerajaan,” katanya ketika berucap pada Malam
Anugerah Maksak di sini hari ini.

Malaysia MADANI yang diacu berteraskan enam rukun iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan, diperkenalkan sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia.

Beliau berkata kelebihan keupayaan dan kepakaran penjawat awam muda perlu dimanfaatkan sebaik mungkin, untuk meningkatkan imej perkhidmatan awam sebagai yang terbaik di rantau Asia ini.

“Gagasan Malaysia MADANI ini juga boleh diterapkan dalam kejohanan-kejohanan sukan yang dijalankan oleh Maksak.

“Selain menambah kualiti pengurusan kejohanan dan program yang dianjurkan, penerapan konsep ini diharap boleh membawa pembaharuan yang lebih kreatif dan inovatif, dalam meningkatkan kualiti sukan yang terbaik kepada penjawat awam,” katanya.

Mohd Zuki berkata Maksak juga berperanan sebagai satu badan atau entiti yang mampu menyatukan seluruh penjawat awam sama ada di peringkat persekutuan dan negeri menerusi aktiviti atau inisiatif diaturkan melalui acara sukan, khidmat masyarakat, atau kebajikan-kebajikan ahli dan penjawat awam.

Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada 18 badan gabungan Maksak yang bersama-sama menyertai kejohanan yang dianjurkan pada 2022.

Sebanyak 27 kejohanan dan 22 program telah dianjurkan pada 2022 di seluruh negara, dengan penyertaan seramai 10,536 peserta.

“Insya-Allah pada tahun ini, Maksak Malaysia menyasarkan untuk menganjurkan sebanyak 40 kejohanan dan program di seluruh negara,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com