Chukai: Calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor akan diberikan tugas sekiranya memenangi Pilihan Raya Parlimen (PRK) Parlimen Kemaman, 2 Disember ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tugas itu sebagai penghubung antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri Terengganu.
Justeru, beliau berharap pengundi di Kemaman dapat memberi sokongan dengan mengundi bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia pada PRK kali ini.
“insya-Allah dengan kedudukan beliau seperti yang sebut tadi, saya percaya kalau dia jadi Ahli Parlimen tak akan nak jadi macam ahli Parlimen biasa.
“Tentunya bagi tugas supaya hubungan dengan kerajaan dan Perdana Menteri baik, jadi ingat saudara-saudara kena pastikan kemenangan calon BN,” katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Perpaduan Madani di Dataran Restoran Cahaya Mesra Geliga di sini, malam Khamis.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, kehadirannya ke Kemaman dapat memberikan suntikan kepada calon mereka dan meminta rakyat di Parlimen Kemaman mengangkat seorang yang berjasa kepada negara.
“Saudara…Panglima Angkatan Tentera ini bukan calang-calang orang, nak naik itu dia lalui pelbagai ujian dan rintangan.
“Dia kena ada rekod yang sangat cemerlang sebelum diangkat.. menteri pertahanan kepada Perdana Menteri dan Perdana Menteri kepada Yang diPertuan Agong (dan) Yang diPertuan Agong perkenan bagi pihak Raja-Raja Melayu, terangkat dia sebagai Panglima Angkatan Tentera.
“Rekod beliau sebagai Panglima Angkatan Tentera itu rekod yang baik, tidak ada cacat cela, sekurang-kurangnya orang Kemaman ingat dan kenang jasa seorang yang menjaga pertahankan setiap inci bumi bertuah ini,” katanya.