Friday, 3, May, 2024
Utama Nasional Kerajaan utamakan penyelesaian isu perumahan generasi kedua dan ketiga FELDA

Kerajaan utamakan penyelesaian isu perumahan generasi kedua dan ketiga FELDA

oleh Ammar Haziq

CHUKAI: Kerajaan akan memberi keutamaan untuk menyelesaikan masalah perumahan yang membelenggu generasi kedua dan ketiga FELDA.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah menerima beberapa cadangan mengenai perkara itu dan ia sedang diteliti untuk tindakan selanjutnya.

“Ada orang kata apabila saya buat pengumuman, tak jalan (apa yang diumumkan). (Tetapi seperti yang) Saya umum awal-awal, noktahkan kemiskinan tegar… hari ini, daripada 130,000 keluarga (miskin tegar), tinggal hanya 11,000 hingga 12,000 yang boleh kita selesaikan sebelum akhir tahun.

“Malaysia adalah negara pertama di dunia yang selesaikan masalah miskin tegar,” katanya ketika berucap pada majlis Ramah Mesra Bersama Komuniti FELDA dan Ketengah di FELDA Seberang Tayor di sini pada Rabu.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus mengangkat martabat FELDA yang menjadi ‘kubu’ kuat bagi pembinaan masyarakat Melayu.

“Percayalah, bukan sahaja soal perumahan, (tetapi juga) soal digital, teknologi, ilmu, pendidikan dan untuk menaikkan mutu (FELDA).

“Dalam setahun (pentadbiran Kerajaan Perpaduan), kita lakukan sebaiknya. Percayalah, kita akan lakukan. Kita gunakan sedaya upaya kita untuk bawa perubahan ke arah kebaikan,” katanya.

Anwar turut mengulangi pendirian beliau untuk tidak bertolak ansur dengan sebarang amalan salah guna kuasa dalam pentadbirannya.

“Andai kata ada yang terlanjur melakukan kesilapan dengan mengambil komisen daripada projek dan kita dapat pengesahan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, saya sudah minta mandat daripada ketua-ketua parti di dalam Kerajaan Perpaduan untuk pecat serta-merta (individu terbabit) daripada jawatan,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com