Saturday, 4, May, 2024
Utama Nasional Setahun Kerajaan Madani: Wawancara Khas bersama Anwar malam ini

Setahun Kerajaan Madani: Wawancara Khas bersama Anwar malam ini

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Genap setahun Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemudi pentadbiran Kerajaan Madani, beliau tampil dalam satu temu bual eksklusif malam ini.

Wawancara Khas Setahun Bersama Kerajaan Madani itu yang dihoskan oleh TV3 dengan tajuknya, ‘Tiwikrama Perdana Menteri’ akan disiarkan secara serentak di semua saluran media utama negara termasuk Astro AWANI pada pukul 9 malam ini.

Dalam temu bual itu, Anwar akan mengimbas setahun Kerajaan Madani serta memperinci hala tuju, matlamat dan cita-cita kerajaan.

Selama setahun pentadbiran Kerajaan Madani, pelbagai pencapaian dicapai sama ada di peringkat domestik mahupun global.

Beberapa kerangka besar terutama dalam mereformasikan ekonomi telah dan sedang dilaksana kerajaan seperti Kerangka Ekonomi Madani, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan pelbagai lagi.

Pada masa sama, kerajaan juga kekal komited dalam memastikan kesejahteraan kehidupan rakyat dengan melaksana pelbagai inisiatif seperti Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) merangkumi Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN), Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN).

Seiring memberi pendedahan dan pemahaman kepada rakyat, kerajaan turut menganjurkan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI berkonsepkan hari kerajaan bersama pelanggan.

Program tiga hari bermula 8 hingga 10 Disember ini akan berlangsung di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata program akan menjadi platform terbaik bagi rakyat untuk menyaksikan dan memahami segala pelaksanaan dasar, inisiatif serta pencapaian Kerajaan Perpaduan sepanjang tempoh satu tahun pentadbiran.

Ia bakal menawarkan informasi secara terus kepada rakyat mengenai perkara berkenaan melalui reruai pelbagai kementerian.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com