Sunday, 28, April, 2024
Utama Ekonomi Menteri, timbalan menteri mesti kerap turun padang ke Labuan, pantau isu rakyat, ekonomi

Menteri, timbalan menteri mesti kerap turun padang ke Labuan, pantau isu rakyat, ekonomi

oleh Ammar Haziq

LABUAN: Menteri atau timbalan menteri berkaitan pembangunan sosioekonomi di Labuan diarahkan untuk membuat lawatan kerja ke Wilayah Persekutuan ini setiap minggu atau selang seminggu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, lawatan kerja oleh menteri-menteri atau timbalan menteri ini adalah bagi mencari jalan penyelesaian kepada pelbagai isu rakyat dan ekonomi di pulau bebas cukai ini.

“Mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini telah memutuskan menteri atau timbalan menteri mesti ke Labuan setiap minggu atau selang seminggu untuk menyelesaikan pelbagai permasalahan di Labuan,” katanya ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan Labuan pada Khamis.

Bagi penyelesaian jangka-panjang gangguan bekalan elektrik di Labuan, beliau berkata Kerajaan Persekutuan bercadang supaya Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk membangunkan janakuasa baharu bagi menyelesaikan gangguan bekalan elektrik di pulau ini.

“Kita akan arahkan Petronas untuk membangunkan janakuasa yang baharu dengan kaedah laluan pantas bagi penyelesaian gangguan bekalan elektrik,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan lebih memberi keutamaan pemilihan pelaksanaan pembangunan janakuasa ini melalui sistem tender, namun melihat kepada keupayaan dan kredibiliti Petronas, ianya tidak akan menimbulkan keraguan seperti wujudnya isu komisyen atau kepentingan pihak-pihak tertentu.

Beliau berkata, apabila siap nanti, janakuasa baharu itu akan membantu kapasiti aliran kerja Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) yang kini adalah operator pengendali bekalan elektrik di Labuan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga mengarahkan satu mesyuarat pihak berkuasa tempatan di sini diadakan pada minggu hadapan bagi mencari penyelesaian isu gangguan bekalan air dan elektrik.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com