Thursday, 9, May, 2024
Utama Ekonomi Malaysia komited majukan tenaga boleh perbaharui, mudahkan urusan perniagaan UAE

Malaysia komited majukan tenaga boleh perbaharui, mudahkan urusan perniagaan UAE

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa Malaysia komited memajukan tenaga boleh diperbaharui selain memudahkan urusan perniagaan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menerusi hantaran di laman Facebook, Anwar berkata perkara itu dizahirkan pada pertemuan dengan Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, yang juga Pemerintah Abu Dhabi, semasa lawatan kerja dua hari beliau ke Abu Dhabi pada 5 dan 6 Okt lepas.

Perdana Menteri berkata lawatan kerja yang hanya berlangsung dalam tempoh kira-kira 36 jam itu menyaksikan beliau turut bertemu beberapa menteri kanan yang terlibat dalam hal ehwal ekonomi, perdagangan dan pelaburan, pemegang taruh dana kekayaan berdaulat UAE, Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) dan syarikat-syarikat perniagaan terbesar di negara itu.

“Dalam lawatan yang singkat tersebut, Malaysia berjaya meraih manfaat besar terutama dalam aspek pelaburan dari negara teluk itu dengan menjana pelaburan komited berjumlah RM40.6 bilion (AS$8.6 bilion) dalam sektor seperti tenaga boleh diperbaharui, aeroangkasa dan logistik.

“Insya-Allah, saya yakin perencanaan yang telah disusun serta dirangka ini mampu menjadikan Malaysia sebagai antara hab terpenting bagi sektor tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com