Friday, 3, May, 2024
Utama Negeri Seorang warga Indonesia, bot pukat tunda kelac C ditahan pelbagai kesalahan

Seorang warga Indonesia, bot pukat tunda kelac C ditahan pelbagai kesalahan

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Seorang wanita warga Indonesia telah ditahan dalam satu pemeriksaan yang dilakukan ke atas sebuah feri penumpang di kedudukan 2.3 batu nautika muara Kuala Kedah pada pukul 2.15 petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, bot ronda milik Maritim Malaysia bot PERKASA 1224 sedang melaksanakan rondaan rutin Op Aman di sekitar perairan Kuala Kedah sebelum menerima maklumat risikan dan menahan feri berkenaan yang dalam perjalanan dari Pulau Langkawi ke Kuala Kedah.

Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas feri berkenaan, anggota penguat kuasa mendapati dokumen perjalanan wanita berkenaan telah tamat tempoh pada tahun 2020.

Berikutan itu, wanita berkenaan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang dari RM10 ribu atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali jika disabit kesalahan.

Dalam kes berasingan, Zon Maritim Kuala Kedah juga berjaya menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C kerana menggunakan alat komunikasi tidak berdaftar di kedudukan sekitar 4.8 batu nautika barat daya muara Kuala Kedah pada 14 Februari lepas.

Menurut Komander Maritim Noor Azreyanti, tangkapan bot nelayan tempatan ini juga dilakukan bot PERKASA 1224 semasa melaksanakan rondaan rutin di sekitar perairan Kuala Kedah.

Hasil pemeriksaan mendapati, bot nelayan telah memiliki satu alat komunikasi jenis radio Very High Frequency (VHF) jenis SHIP STATION SS-24 yang tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Bot ditahan dibawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 kerana menggunakan peralatan komunikasi yang tidak dibenarkan dan tidak memiliki sebarang surat kebenaran penggunaannya.

Bot berkenaan juga telah melakukan kesalahan dibawah Akta Perikanan 1985 dengan melanggar syarat sah lesen berkenaan pemilikan alat perhubungan komunikasi tanpa kelulusan bertulis daripada agensi kerajaan.

Kesemua yang ditahan bersama bot berkenaan telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.

Tindakan tegas boleh diambil kepada semua yang yang cuba melanggar undang-undang negara yang telah ditetapkan.

Pihak Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan orang ramai bagi melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui saluran talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com