Sunday, 14, July, 2024
Utama Politik Sanusi perlu cari jalan jana pendapatan, bukan minta rakyat miskin berhenti minta bantuan

Sanusi perlu cari jalan jana pendapatan, bukan minta rakyat miskin berhenti minta bantuan

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah di bawah pimpinan Pas disaran supaya mencari jalan untuk menjana pendapatan baharu bagi membolehkan kerajaan menyalurkan bantuan dan membela nasib rakyat miskin di negeri itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor perlu melaksanakan tanggungjawab membantu golongan miskin dan bukannya meminta mereka berhenti meminta bantuan daripada kerajaan Pas negeri itu.

“Bagi saya, sebagai seorang Menteri Besar yang dipilih oleh rakyat Kedah, beliau seharusnya memikul tanggungjawab membantu rakyat miskin di negeri itu dan bukannya mengeluarkan kenyataan supaya rakyat miskin jangan lagi menjadikan meminta bantuan daripada kerajaan PAS sebagai satu budaya hidup.

Itu boleh dianggap sebagai satu penghinaan kepada golongan miskin dan sudah tentu ianya amat mengecewakan rakyat apabila seorang Menteri Besar meminta rakyat jangan lagi bergantung harap dengan meminta bantuan daripada kerajaan Pas”, katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau mengulas kenyataan Sanusi dalam satu rakaman video ucapannya di dalam satu majlis yang tular di platform media sosial Tiktok baru-baru ini.

Rakaman itu memaparkan ucapan Sanusi yang meminta rakyat miskin di Kedah berhenti menjadikan budaya meminta bantuan daripada kerajaan dan Wakil Rakyat PAS, seperti bantuan baiki dinding dan bumbung rumah.

Jelas Mahdzir, rakyat Kedah yang memilih dan mengundi pimpinan PAS untuk menerajui negeri itu sudah tentu mengharapkan kepimpinan kerajaan memainkan peranan yang berkesan dalam membantu rakyat miskin yang memerlukan bantuan.

“Mengapa pimpinan PAS ketika berkempen dalam pilihanraya tidak menyebut perkara itu dengan meminta rakyat jangan meminta bantuan daripada Wakil Rakyat kalau mereka menang?

Kenapa sekarang apabila menjadi kerajaan selepas menang dalam pilihanraya, kerajaan negeri meminta rakyat miskin jangan lagi minta bantuan daripada Wakil Rakyat PAS? Adakah itu membawa maksud pimpinan kerajaan negeri mahu melarikan diri daripada tanggungjawab terhadap rakyat?”

Kerajaan negeri tambah Mahdzir, perlu merangka strategi khusus bagi mencari jalan penyelesaian untuk menghapuskan kemiskinan di Kedah.

“Kalau di zaman UMNO dan BN memerintah dahulu, kita memang meletakkan agenda membasmi kemiskinan rakyat itu sebagai agenda utama yang perlu dilaksanakan secara berterusan dan bukannya secara ‘one off’.

Kita pun tak pernah sebut supaya rakyat jangan minta bantuan daripada kerajaan UMNO dan BN ketika kita memerintah. Tetapi kerajaan PAS yang memerintah hari ini enggan melaksanakan amanah dan tanggungjawab membantu rakyat miskin”.

Berbeza dengan UMNO dan BN sekarang ini walaupun sudah tidak menjadi kerajaan di negeri Kedah, tetapi kita masih lagi mendekati rakyat miskin dengan menghulurkan pelbagai bantuan kerana itu budaya yang sudah menjadi amalan bagi UMNO dan BN untuk membantu rakyat dan kita tidak pernah merungut atau meminta rakyat jangan lagi minta bantuan kita”.

Kerajaan Kedah juga kata Mahdzir, perlu mengambil tanggungjawab melaksanakan usaha seperti yang dilaksanakan oleh Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat Persekutuan yang menggerakkan usaha penstrukturan semula ekonomi negara pasca Covid-19.

“Menerusi agenda Membangun Malaysia Madani, kita lihat PMX banyak menumpukan kepada usaha membasmi kemiskinan bandar dan luar bandar, golongan
nelayan, pesawah, penoreh getah, peniaga kecil, kumpulan pelajar dan mahasiswa serta pekerja E-hailing.

Begitu juga dengan sektor pendidikan, pertanian, bidang kesihatan dan infrastruktur yang diberikan perhatian khusus”, kata Mahdzir.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com