Friday, 18, October, 2024
Utama Negeri Sabari disyaki dibunuh, mangsa dicampak dalam sungai belum ditemui

Sabari disyaki dibunuh, mangsa dicampak dalam sungai belum ditemui

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Persoalan kehilangan pesara Felcra, Sabari Baharom yang di Baling pada awal September terjawab selepas polis memberkas dua lelaki yang disyaki membunuh mangsa.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, Sabari, 62 dipercayai dicampak ke dalam Sungai Padang Terap di Kampung Empa, Derang di Kubang Pasu dalam keadaan tangan diikat manakala mulutnya pula ditutup dengan pita pelekat.

Menurutnya, kedua-dua suspek warga tempatan itu berusia 26 dan 38 tahun telah ditahan pada Jumaat lalu.

“Ekoran perkembangan kes orang hilang, Polis Kedah berjaya mengesan dan memberkas dua suspek lelaki yang disyaki dapat membantu siasatan kes tersebut.

“Hasil soal siasat dijalankan, pengakuan telah dibuat oleh kedua-dua suspek bahawa mangsa telah dicampak ke dalam Sungai Padang Terap. Sehingga kini mangsa masih gagal dijumpai dan usaha mencari masih dilakukan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Jelas Fisol, siasatan dilakukan melibatkan kes orang hilang kini telah dilanjutkan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurutnya lagi, polis telah pun memaklumkan perkembangan siasatan tersebut kepada keluarga mangsa.

“Semua pihak dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian dan menghormati serta menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

“Sebaliknya orang ramai diminta untuk membantu dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian kepada pihak polis,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan Sabari didapati hilang sejak 4 September lalu dan gagal dikesan sehingga kini.

Kehilangan itu dianggap misteri oleh ahli keluarganya kerana kereta Proton Waja milik mangsa ditemui dibakar di kawasan pembuangan sampah di gaung Hutan Gubir, Sik, Jumaat lalu namun mangsa tiada.

Ahli keluarga mengesyaki Sabari dilarikan individu tidak dikenali berikutan berlaku beberapa transaksi pemindahan wang dari akaun Tabung Haji lelaki itu ke akaun bank orang lain dalam tempoh dua hari selepas kehilangannya. 

Pelbagai usaha mencari telah dilakukan oleh ahli keluarga namun sehingga kini Sabari masih gagal dikesan. 

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com