Monday, 6, May, 2024
Utama Negeri “Minta nasi dengan telur goreng, ikan masin, takut tak sempat makan Lepas ni”

“Minta nasi dengan telur goreng, ikan masin, takut tak sempat makan Lepas ni”

oleh Ammar Haziq

SIK – Permintaan Pegawai Waran II, Muhammad Faisol Tamadun,36, untuk menikmati juadah nasi dengan telur goreng dan ikan masin menjadi hasrat terakhirnya sebelum maut dalam nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pagi Selasa.

Kakaknya, Noryani, 50, berkata, kali terakhir mereka sekeluarga berkumpul pada hari raya Aidilfitri pertama sebelum dia pulang ke Sabah pada pagi raya kedua. 

Menurutnya, terdetik di hatinya apabila adik bongsunya membuat permintaan berkenaan namun reda dengan pemergian adiknya hari ini selepas ibu bapa mereka meninggal dunia Januari dan Ogos tahun lalu. 

“Adik saya ada minta nak makan nasi dengan telur goreng dan ikan masin, arwah kata dia takut tak dan (sempat) makan dah lepas ni.

“Apabila adik saya cakap tak dan nak makan dah, saya  terdetik di dalam hati kenapa dia cakap macam ni, selain itu pada pagi raya dia ajak ambil gambar bersama kami tiga beradik, seorang lagi adik perempuan saya yang bekerja polis di Pahang belum sampai lagi. 

“Arwah kata kita ambil gambar bertiga dulu, nanti takut seorang hilang, nanti kakak balik (polis) akan ganti, dia kata mungkin ini gambar terakhir kita, saya pun rasa pelik kenapa dia cakap seorang akan hilang, masa nak balik pun dia cakap kita jumpa ‘last’ dah ni, hari ini semuanya terjawab,” katanya yang tinggal di Kampung Tanjung di sini.

Ujarnya, arwah yang lebih mesra dengan panggilan Adik Mat sangat manja dengan adik beradik lain dan berhasrat untuk pencen dua tahun lagi. 

Menurutnya, arwah dijangka akan kembali bertugas di Lumut hujung tahun ini dan selepas dua tahun lagi dia akan pencen dan mahu tinggal di rumah peninggalan orang tua di Kampung Tanah Hitam. 

“Rumah itu memang arwah ayah beri kepada adik, dia kata nak buat homestay dulu sebelum dia pencen,” katanya lagi. yang menjual nasi lemak. 

Noryani berkata lagi, arwah  juga bersemangat untuk mengadakan latihan di Pangkalan TLDM Lumut, Perak kerana dapat berjumpa isterinya Nor Syuhada, 37, yang merupakan guru di Sri Iskandar. 

“Dia pun ajak kami tengok pertunjukkan sempena Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) TLDM ke-90 awal bulan depan, tapi saya sudah cakap dengan dia kami tak dapat pergi kerana terlalu jauh,” katanya. 

Noryani berkata jenazah adiknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sik Dalam di sini. 

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak perempuan berusia 10 dan enam tahun. 

Pada Selasa, media melaporkan seramai 10 orang maut dalam nahas dua buah helikopter milik TLDM terhempas di Pangkalan TLDM, Lumut.

Kedua-dua helikopter yang bertembung di udara dan terhempas di situ dilaporkan sedang menjalani Latihan raptai bersempena lintas hormat sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Mei ini.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com