Monday, 14, October, 2024
Utama Negeri Mayat dua beranak ditemukan lemas selang 14 jam

Mayat dua beranak ditemukan lemas selang 14 jam

oleh Ammar Haziq

PADANG TERAP –  Seorang wanita dan anak lelakinya yang dikhuatiri hilang dibawa arus deras banjir kilat di Kampung Tanjung Kiri,Jalan Padang Sanai, Kuala Nerang, di sini ditemukan lemas selang 14 jam semasa operasi pencarian dilakukan.

Mayat anak yang juga seorang orang kurang upaya lembam, Muhammad Rosman Rohadi, 19, ditemui pada jam 5.25 petang pada Sabtu manakala mayat ibunya,  Salmah Mat Zain, 46, dijumpai pasukan penyelamat pada jam 7.45 pagi pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, mayat kedua dijumpai kira-kira 15 minit selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung semula pada jam 7.30 pagi.

Jelasnya, mayat mangsa didapati tersangkut di bawah timbunan sisa pelepah kelapa sawit serta tunggul kayu di kawasan ladang kelapa sawit yang masih ditenggelami banjir.

” Lokasi mayat mangsa ditemukan adalah kira-kira 200 meter dari tempat mangsa dipercayai dihanyutkan arus. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk proses bedah siasat,” katanya pada Ahad.

Menurut Mulkiaman, orang ramai dinasihat tidak sesekali meredah banjir bagi mengelak kejadian sama berulang.

“Semua mangsa banjir juga diminta untuk segera berpindah jika diarah berbuat demikian demi keselamatan diri dan keluarga,” katanya lagi.

Pada petang Sabtu,  mayat Muhammad Rosman ditemukan di dasar air dalam kebun kelapa sawit pada jam 5.25 petang oleh anggota penyelamat.

Mayat mangsa pertama itu  tersangkut pada pelepah kelapa sawit iaitu kira-kira 150 meter dari lokasi mangsa dan ibunya dipercayai hanyut.

Terdahulu media melaporkan,dua beranak berkenaan dipercayai baru pulang dari membeli nasi lemak dan cuba meredah air banjir untuk pulang ke rumah mereka pada pagi Sabtu

Penduduk kampung yang melihat situasi itu cuba menjerit mengarahkan mereka berpatah balik sebelum kedua-duanya dilihat hanyut dibawa arus.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com