ALOR SETAR – Pemuda UMNO Pokok Sena menyokong penuh kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh mengenai proses pendakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tidak dijalankan dengan adil dan tergesa-gesa.
Ketua Pemudanya, Mohd Farhan Ahmad berkata, mereka juga senada dengan kebimbangan terhadap kesan tekanan politik dalam sistem kehakiman negara.
Menurutnya, Muhammad Akmal telah menunjukkan keteguhan prinsip dan keprihatinan terhadap ketelusan perbicaraan ini, yang amat penting dalam memastikan keadilan sebenar ditegakkan.
“Kami juga ingin menzahirkan keprihatinan mendalam terhadap cara pendakwaan dan perbicaraan yang melibatkan Datuk Seri Najib Razak telah dilaksanakan. Walaupun beliau telah didapati bersalah atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah, dan pengubahan wang haram, terdapat persoalan serius mengenai integriti proses keadilan yang melibatkan beliau.
“Dakwaan bahawa perbicaraan dilakukan secara tergesa-gesa, kegagalan pihak pendakwaan menyerahkan dokumen-dokumen penting, serta pengaruh tekanan politik menimbulkan keraguan terhadap ketelusan dan keadilan sistem perundangan kita,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas Mohd Farhan, Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini menyatakan bahawa beberapa pendakwaan berprofil tinggi pada tahun 2018 dilakukan secara tergesa-gesa dan dicemari oleh ‘racun’ dan permusuhan” politik.
Menurutnya, Perdana Menteri menegaskan bahawa pendakwaan yang tergesa-gesa dan dipengaruhi oleh dendam politik boleh menyebabkan kelemahan dalam kes-kes yang dibawa ke mahkamah.
“Kenyataan ini menguatkan lagi kebimbangan mengenai kemungkinan wujudnya unsur pendakwaan terpilih yang boleh menjejaskan prinsip keadilan sejagat.
Pendekatan sedemikian bukan sahaja mencetuskan perdebatan undang-undang, tetapi juga membawa implikasi politik yang mendalam,” tegasnya.
Tambah beliau, Malaysia, sebagai sebuah negara yang berasaskan demokrasi dan kedaulatan undang-undang, memerlukan sistem keadilan yang bebas daripada pengaruh politik atau manipulasi kuasa.
Menurutnya, sekiranya elemen seperti ini dibiarkan berterusan, ia akan ia akan melemahkan keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman dan mencorakkan landskap politik yang semakin polarisasi.
“Keputusan berkaitan kes ini telah membawa kesan kepada pelbagai pihak. Dari sudut politik, ia memperlihatkan bagaimana isu-isu undang-undang boleh dijadikan senjata untuk melemahkan lawan politik.
“Hal ini, jika tidak ditangani dengan teliti, berpotensi mewujudkan budaya pendakwaan terpilih yang merosakkan prinsip asas demokrasi. Kes Najib Razak menjadi contoh jelas bagaimana persaingan politik dapat mengaburkan garis pemisah antara keadilan dan kepentingan politik,” katanya lagi.
Jelasnya lagi, sebagai negara yang sedang berusaha memulihkan kestabilan politik pasca-pandemik dan selepas beberapa pergolakan politik sejak beberapa tahun kebelakangan, kita tidak mampu untuk terus memperlihatkan kelemahan dalam pengurusan keadilan.
Ujarnya, negara memerlukan reformasi menyeluruh terhadap institusi kehakiman bagi memastikan ia benar-benar bebas, telus, dan adil.
Mohd Farhan memberitahu, reformasi ini tidak boleh hanya bersifat kosmetik, tetapi harus mencakupi mekanisme kawal selia yang lebih ketat, perlindungan terhadap campur tangan politik, serta memastikan kesaksamaan dalam proses perundangan.
“Melihat kepada masa depan politik negara, isu ini boleh menjadi pencetus kepada peralihan paradigma dalam pemikiran rakyat terhadap kepimpinan dan keadilan. Rakyat akan semakin kritikal terhadap kerajaan semasa, malah isu ini mungkin menjadi faktor penting dalam menentukan pola pengundian pada pilihan raya akan datang.
“Sentimen mengenai keadilan yang dilihat tidak dilaksanakan dengan saksama boleh mengakibatkan kehilangan sokongan kepada parti pemerintah, khususnya dalam kalangan generasi muda dan pengundi atas pagar,” katanya.
Tegasnya, keadilan bukan sekadar konsep abstrak, ia adalah asas kepada kepercayaan rakyat terhadap negara.
“Oleh itu, kami menyeru agar tindakan segera diambil untuk memperbaiki segala kelemahan dalam sistem keadilan negara. Dalam masa yang sama, adalah penting bagi kerajaan untuk menunjukkan kesungguhan dalam memastikan tiada ruang untuk pendakwaan terpilih atau tekanan politik dalam mana-mana kes undang-undang.
“Sebarang kegagalan untuk menangani isu ini dengan serius bukan sahaja akan menjejaskan kepercayaan terhadap institusi kehakiman, tetapi juga merisikokan masa depan politik Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi yang matang,” jelasnya lagi.
Terdahulu, media melaporkan Akmal memuji kelantangan Anwar yang bersuara berhubung kes mahkamah melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor.
Menurutnya, ia satu pengakuan yang berani dan segala tohmahan terhadap Rosmah dulu hanyalah sekadar fitnah jahat mahu menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN), apabila beliau dilepaskan daripada segala pertuduhan yang dihadapi olehnya beberapa hari lepas.
Anwar juga sekali lagi menafikan pembabitannya dalam kes mahkamah melibatkan Rosmah.
Beliau sebaliknya menyatakan bahawa beberapa pendakwaan yang dibuat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) itu terburu-buru sehingga banyak ‘kecacatan’.