Thursday, 3, April, 2025
Utama Nasional Duit raya untuk penjawat awam RM500, pesara RM250

Duit raya untuk penjawat awam RM500, pesara RM250

oleh Ammar Haziq

SEPANG:Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah yang akan dibayar minggu depan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan juga bersetuju membayar BKK Aidilfitri sebanyak RM250 kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen.

“Kerajaan menimbang secara serius walaupun pada hemat saya (isu bonus penjawat awam) sudah diselesaikan pada bulan Februari tetapi kerana mengenangkan pentadbiran itu lebih baik, khidmat mereka lebih baik dan kesungguhan yang ada.

“Maka saya putuskan, Insya-Allah dalam minggu depan, kita akan salurkan kepada Gred 56 ke bawah RM500 bagi setiap penjawat awam dan untuk pesara RM250 termasuk veteran dan veteran tidak berpencen,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Abdul Samad Lapangan Terbang Antarabanga Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Anwar berkata, penyaluran BKK Aidilfitri kepada semua penjawat awam dan pesara itu membabitkan peruntukan mencecah RM1 bilion.

“Alhamdulillah oleh kerana kita catat pertumbuhan ekonomi lebih baik hasil negara lebih baik dan sumbangan penjawat awam lebih teratur, lebih disiplin, ketirisan masih ada tetapi banyak dikawal.

“Bulan Februari (lalu sudah) diberi bonus dan sekarang ni Ramadan, tekanan untuk keluarga, persiapan untuk Aidilfitri dan ada juga yang mengeluh kos hidup meningkat sedikit,” katanya.

Sementara itu, bagi pesara tentera Khairuddin Ishak, 51, dia bersyukur kerana kerajaan sentiasa prihatin dengan penjawat awam dan juga pesara.

“Alhamdulillah sekurang-kurangnya dengan bantuan ini dapat lah meringankan beban kami sekeluarga untuk sambut hari raya tidak lama lagi.

” Diharap kerajaan akan terus membela nasib pesara dan juga veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya yang merupakan bapa kepada enam orang anak.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com