Wednesday, 16, April, 2025
Utama Politik PRK Ayer Kuning: tidak boleh guna jentera, peruntukan kerajaan selepas penamaan calon – PM

PRK Ayer Kuning: tidak boleh guna jentera, peruntukan kerajaan selepas penamaan calon – PM

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran bahawa penggunaan jentera atau peruntukan kerajaan untuk tujuan kempen selepas proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning adalah tidak dibenarkan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan bahawa keputusan kerajaan dalam hal ini perlu dipatuhi oleh semua pihak berkaitan.

Anwar turut menjelaskan bahawa pengumuman peruntukan sebanyak RM6.13 juta oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming , bagi 33 projek pembangunan di kawasan Parlimen Tapah, termasuk DUN Ayer Kuning, dibuat sebelum proses penamaan calon.

“Pengumuman itu dibuat sebelum penamaan calon. Kalau selepas itu, kita kena bagi amaran… tidak boleh,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis perjumpaan bulanan Kementerian Kewangan (MOF) di sini, hari ini.

Pada 10 April, Nga mengumumkan bahawa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah meluluskan peruntukan tersebut di bawah Program Sentuhan Kasih 3.0.

Bagaimanapun, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) membidas pengumuman itu dengan menyatakan bahawa penyaluran dana dan projek pembangunan ke kawasan yang sedang berdepan pilihan raya adalah satu bentuk penyalahgunaan sumber kerajaan.

Bersih menegaskan bahawa tindakan sedemikian bercanggah dengan prinsip pilihan raya yang adil dan bersih , yang seharusnya menjadi asas kepada demokrasi negara.

Penamaan calon bagi PRK DUN Ayer Kuning berlangsung pada 12 April , dengan hari pengundian ditetapkan pada 26 April , manakala pengundian awal dijadualkan pada 22 April.

PRK ini diadakan susulan kematian penyandang kerusi DUN Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin , yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com