Wednesday, 1, May, 2024
Utama Politik Jamil Khir dipinggirkan?

Jamil Khir dipinggirkan?

oleh Wartawan Kedah Gazette
Jamil Khir Baharom

ALOR SETAR – Kepimpinan UMNO di negeri ini didakwa terkilan selepas mendapati Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom terpinggir dalam menduduki kerusi penting dalam kerajaan negeri berikutan pembentukan kerajaan baharu Perikatan Nasional (PN) di negeri ini.

Difahamkan sebelum ini Jamil Khir dijanjikan jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri ataupun Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).

Bagaimanapun dalam percaturan terkini, Pengerusi KEDA telah diisi ADUN Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail sementara Timbalan Speaker DUN Kedah Juhari Bulat dilaporkan akan naik pangkat sebagai Speaker apabila Dewan Undangan Negeri Kedah bersidang kelak.

Menurut satu sumber, kedudukan Jamil Khir ini juga telah dibincangkan pada mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Kedah pada malam Isnin lepas dan satu kesepatan telah diambil iaitu dua pemimpin senior UMNO Kedah akan membawa perkara berkenaan kepada Perdana Menteri.

“Perkara itu akan dibincangkan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin agar Pengerusi UMNO Kedah mempunyai kedudukan yang setaraf dengan jawatan beliau dalam parti UMNO”, katanya sambil menegaskan perkara itu dibangkitkan bukan soal pembahagian jawatan “siapa dapat jawatan apa”.

“Ini adalah tentang memberi kedudukan yang setara kepada pemimpin utama parti yang membantu pembentukan kerajaan negeri,” kata sumber berkenaan.

Difahamkan juga semasa kunjungan rombongan Pas Kedah diketuai Pesuruhjaya Ustaz Ahmad Yahaya bertemu dengan kepimpinan UMNO Kedah di Bangunan Tunku pada pagi Isnin lepas, Ustaz Ahmad difahamkan secara berdiplomasi memohon maaf kerana janji untuk Jamil Khir itu belum tertunai.

Sementara itu Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berharap pemimpin akan berunding yang terbaik untuk kepentingan parti, walaupun UMNO tidak berada dalam posisi yang terkuat kerana hanya mempunyai dua ADUN.

“Cuma terpanggil nak bagi satu pandangan, dalam politik ini, kalau kita tak kuat sudah tentu nak minta apa-apa susah, agak sulit untuk kita berunding, dengan hanya dua kerusi di Kedah saya rasa agak bimbang UMNO Kedah akan terpinggir dan akan dapat kedudukan yg tidak strategik serta kurang relevan”, katanya, yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com