Monday, 26, May, 2025
Utama Politik Anwar peruntuk sehari seminggu fokus kukuh parti mulai Jun

Anwar peruntuk sehari seminggu fokus kukuh parti mulai Jun

oleh Ammar Haziq

JOHOR BAHRU: Datuk Seri Anwar Ibrahim berikrar akan memperuntukkan lebih banyak masa untuk memperkasa Parti Keadilan Rakyat (PKR), selepas mengakui terlalu memberi tumpuan kepada urusan negara sejak dilantik sebagai Perdana Menteri hampir tiga tahun lalu.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata, bermula Jun ini, beliau akan meluangkan sekurang-kurangnya sehari seminggu untuk memfokuskan usaha mengukuhkan jentera parti termasuk di peringkat akar umbi.

“Saya terbeban dengan tanggungjawab baharu, saya mahu negara ini bangkit jadi negara hebat. Cita-cita saya tinggi untuk lihat Malaysia jadi negara hebat dalam beberapa tahun akan datang, jadi saya terlalu tumpu kepada urusan negara.

“Kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP), saya mohon maaf kerana sepanjang hampir tiga tahun saya jadi Perdana Menteri, saya paling kurang ambil berat soal parti. Apakah ia keputusan wajar? Semestinya tidak,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden PKR di Kongres Nasional PKR 2024/2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, malam tadi.

Anwar turut menekankan pentingnya usaha memperkukuh hubungan antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan, sambil menyifatkan kerjasama erat dalam gabungan MADANI sebagai tonggak kestabilan politik dan kemajuan negara.

Katanya, negara akan mengalami kerugian besar sekiranya berlaku keretakan dalam hubungan parti-parti dalam kerajaan.

Mengulas pemilihan peringkat pusat PKR yang berlangsung semalam, Anwar menyeru ahli parti untuk kembali bersatu dan tidak memanjangkan perbezaan pandangan yang timbul sepanjang proses pemilihan.

“Saya ajak rakan-rakan, mari kita pupuk semangat. Jangan andaikan yang menang itu menang semua dan monopoli semua, dan yang kalah itu kalah terus. Belajarlah daripada kelemahan, guna pengalaman, beri sumbangan sebaiknya kepada parti,” katanya.

Dalam nada penuh harapan, Anwar turut menggesa seluruh ahli dan pimpinan PKR supaya berhemah dalam berbicara serta menjaga adab dan tertib dalam menegur sesama sendiri.

“Kita harus bergerak ke hadapan dengan kekuatan bersama. Perbezaan itu lumrah, tetapi yang lebih utama ialah semangat perpaduan dan iltizam untuk terus memperjuangkan nasib rakyat,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com