KUALA LUMPUR: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh kepimpinan dan ahli parti agar memperkukuh organisasi, memperluas jaringan serta mempersiapkan diri menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.
Anwar yang juga Perdana Menteri menegaskan, PKR bukan sekadar entiti politik tetapi gerakan rakyat yang membawa suara perubahan tulen demi membela nasib rakyat terbanyak.
“Saya mengajak seluruh pimpinan dan anggota PKR untuk terus menjadi suara rakyat yang menderita, pembela kepada yang lemah dan penegak kepada nilai kebenaran, meski jalannya tidak mudah serta perjuangannya panjang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut beliau, ucapan dasar Presiden dalam Kongres Nasional PKR 2024/2025 semalam bukan hanya merangkumi pencapaian dasar kerajaan, malah menjadi seruan perjuangan untuk memastikan parti terus menjadi obor harapan rakyat.
Anwar turut menekankan pentingnya PKR berperanan sebagai benteng menolak politik kebencian, fitnah dan perkauman sempit yang hanya memecah-belahkan rakyat dan melemahkan negara.
“Saya menegaskan bahawa perjuangan reformasi mesti diteruskan tanpa gentar, memperkukuh integriti, menolak rasuah dalam apa jua bentuk dan memastikan tadbir urus negara berteraskan prinsip keadilan, ketelusan dan akauntabiliti.
“Reformasi bukan soal gopoh atau populariti semata. Ia menuntut kebijaksanaan, kesabaran dan strategi yang jelas. Kita harus belajar daripada tokoh sejarah seperti Umar Abdul Aziz dan Vaclav Havel, yang membuktikan bahawa perubahan yang bertahan adalah perubahan yang dilakukan dengan kesungguhan dan hikmah,” katanya.
Dalam catatan itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada tokoh-tokoh parti seperti bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Timbalan Presiden baharu, Nurul Izzah Anwar yang disifatkan sentiasa menyumbang tenaga dan idea demi parti dan rakyat.
“Perbezaan pandangan harus diraikan dengan hikmah, bukan dijadikan alasan untuk memecahbelahkan. Kita bukan musuh antara satu sama lain sebaliknya saudara dalam perjuangan yang sama,” katanya.
Anwar dalam masa sama turut menekankan kepentingan sokongan rakyat terhadap pencapaian dan hala tuju Ekonomi MADANI, termasuk peningkatan pelaburan asing dan domestik yang menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi mampan.
Beliau berkata, kerajaan juga melaksanakan reformasi subsidi secara bersasar yang lebih adil serta mengurangkan kebergantungan kepada hasil minyak demi kemampanan jangka panjang.
“Kerajaan MADANI akan terus memacu reformasi struktur yang memperkukuh sektor pendidikan, kesihatan dan perumahan rakyat. Inisiatif seperti Program Sumbangan Tunai Rahmah serta pelbagai kemudahan asas luar bandar, adalah manifestasi komitmen kita untuk membela nasib rakyat terbanyak,” ujarnya.
Kongres Nasional PKR 2024/2025 semalam turut menyaksikan Anwar mengekalkan jawatan Presiden tanpa bertanding, manakala Nurul Izzah dipilih sebagai Timbalan Presiden selepas mengalahkan Rafizi.