Sunday, 1, June, 2025
Utama Politik Hormati keputusan, masa untuk teruskan perjuangan-Taufiq Johari

Hormati keputusan, masa untuk teruskan perjuangan-Taufiq Johari

oleh Ammar Haziq

SUNGAI PETANI: Peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai Menteri Ekonomi tidak seharusnya dilihat sebagai satu kehilangan arah, sebaliknya satu ruang untuk pembaharuan dan kesinambungan perjuangan, kata Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Muhammed Taufiq Johari.

Mengulas isu tersebut ketika ditemui selepas program Hari Bersama Pelanggan sempena Minggu Perubatan Kecemasan Sedunia Peringkat Negeri Kedah di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), beliau menegaskan bahawa keputusan Rafizi perlu dihormati sepenuhnya.

“Saya menghormati keputusan beliau dan menyerahkan sepenuhnya kepada pimpinan atasan, pimpinan parti saya, untuk membuat keputusan terbaik untuk parti dan juga rakyat secara keseluruhannya. Itu saja komen saya. Saya serahkan sepenuhnya,” katanya yang juga Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat.

Taufiq menyifatkan tindakan Rafizi itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan, malah bersifat konsisten dengan pendirian beliau sejak awal penglibatan dalam politik.

“Bagi saya itu adalah pendirian beliau sejak awal beliau berkempen dan peletakan jawatan itu sebenarnya adalah perkara yang normal. Ia bukan sesuatu yang luar biasa dalam proses politik matang,” ujarnya.

Beliau menambah, walaupun tidak lagi berada dalam kabinet, Rafizi masih boleh terus menyumbang secara bermakna kepada perjuangan parti dan rakyat.

“Saya harap Rafizi masih boleh menyumbang kepada parti dan juga rakyat, khususnya di kawasan beliau, Parlimen Pandan, dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Idea dan tenaga beliau amat-amat diperlukan,” jelasnya.

Menurutnya lagi, yang penting kini ialah memastikan kekosongan jawatan itu dapat diisi oleh individu yang berkelayakan dan mampu meneruskan agenda ekonomi yang telah dirancang.

“Kita menghormati peletakan jawatan beliau dan saya harap kekosongan itu dapat diisi dengan baik oleh seseorang yang mampu meneruskan agenda yang telah diilhamkan sebelum ini,” katanya.

Dalam nada yang sama, Taufiq turut menggesa semua pihak agar tidak terjebak dengan spekulasi yang tidak membawa manfaat.

“Sebarang spekulasi tentang kononnya akan berlaku rombakan kabinet ataupun kekosongan hala tuju kerajaan hanya akan mengalihkan perhatian rakyat daripada kerja besar yang sedang dijalankan membina semula ekonomi, menyelesaikan kos sara hidup, dan memperkukuh dasar rakyat,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau sendiri bersedia jika ditawarkan jawatan menteri, Taufiq menegaskan beliau tidak pernah memikirkan perkara itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada budi bicara pucuk pimpinan parti dan Perdana Menteri.

“Tidak terfikir oleh saya. Itu semua hak mutlak Perdana Menteri. Saya serahkan semuanya kepada pucuk pimpinan,” katanya ringkas.

Beliau turut merendah diri ketika ditanya mengenai pandangan bahawa beliau antara pemimpin muda PKR yang berpotensi menggalas tanggungjawab lebih besar.

“Saya tak tahu yang itu,” balasnya sambil tersenyum.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com