PUTRAJAYA: PKR Cabang Putrajaya membuat laporan polis terhadap sebuah akaun TikTok yang didakwa menyebarkan kenyataan berbaur provokasi berkaitan isu Kampung Sungai Baru.
Ketua Penerangan cabang itu, Mohd Hafiz Osman berkata laporan berkenaan dibuat terhadap pemilik akaun @rafidahhjibrahim yang baru-baru ini memuat naik hantaran mengajak orang ramai hadir ke lokasi terbabit pada 11 September.
“Laporan polis dibuat kerana kandungan yang dimuat naik jelas berunsur hasutan serta boleh mengancam ketenteraman awam, selain menimbulkan perpecahan dalam kalangan penduduk Kampung Sungai Baru dan pihak berkepentingan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, pada Jumaat.
Menurut beliau, kenyataan yang tular itu turut mengandungi tuduhan tanpa asas terhadap pemimpin serta pihak berkuasa, selain cubaan mengapi-apikan orang ramai untuk melawan undang-undang dan bertindak ganas terhadap operasi penguatkuasaan.
Mohd Hafiz menambah, mesej sebegitu berpotensi menanam rasa kebencian serta ketakutan dalam masyarakat.
Terdahulu, beliau hadir membuat laporan polis bersama Ketua Biro Perpaduan cabang, V. Theventharan dan beberapa ahli PKR Putrajaya.
Sehubungan itu, pihaknya menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) segera menyiasat serta mengambil tindakan bagi mengelak kandungan berkenaan terus tersebar.
“Keadilan Putrajaya komited memperjuangkan hak penduduk Kampung Sungai Baru melalui saluran sah serta rundingan adil, bukannya melalui provokasi atau hasutan. Perbezaan pandangan seharusnya disampaikan secara bertanggungjawab dengan berlandaskan fakta serta undang-undang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Aidi Sham Mohamed, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung perkara tersebut.
Semalam, operasi pengosongan rumah di Kampung Sungai Baru dijalankan pihak polis bersama agensi penguat kuasa susulan arahan mahkamah.
Keadaan tegang semasa operasi itu menyaksikan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Sulizmie Affendy Sulaiman cedera selepas terkena balingan batu oleh individu tidak dikenali ketika mengawal situasi.