Tuesday, 7, May, 2024
Utama Politik Pendekatan Tony Pua dianggap tidak bermaruah – Pemuda UMNO Pokok Sena

Pendekatan Tony Pua dianggap tidak bermaruah – Pemuda UMNO Pokok Sena

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena menyifatkan kenyataan dikeluarkan Tony Pua secara terang-terangan menyerang Barisan Nasional (BN) menunjukkan pendekatan yang tidak bermaruah dan tidak patut dilakukan oleh seorang pemimpin politik yang mana kepimpinan tertinggi organisasi beliau adalah sebahagian daripada kerajaan yang dibentuk hari ini.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena, Mohd Farhan Ahmad berkata, bekas Setiausaha Publisiti DAP dan mantan ahli parlimen itu sepatutnya bertanggungjawab untuk menyampaikan pendapat dengan cara yang berhemah dan bertanggungjawab.

Menurutnya, beliau sepatutnya menggunakan platformnya untuk membawa perdebatan yang bermutu dan mencari penyelesaian bagi isu-isu yang dihadapi oleh negara ini.

“Namun, tindakan beliau untuk menyerang BN secara terbuka tanpa sebarang bukti yang kukuh hanyalah mencerminkan kelemahan dalam argumen beliau dan mencalarkan hubungan baik antara ahli parti komponen kerajaan perpaduan.

“Beliau dengan tegas menyatakan bahawa kerajaan perpaduan adalah “merupakan sebuah pembohongan dan satu penipuan” dengan menuduh BN sebagai “Pakatan Korup”. Kenyataan seperti ini jelas menunjukkan sikap yang tidak beradab dan tidak membina suasana politik yang sihat, apatah lagi perpaduan dikalangan masyarakat kita yang agak rapuh selepas kemelut politik,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Farhan berkata, dalam konteks politik negara kita yang majmuk, adalah penting untuk mengamalkan pendekatan yang berhemah dan berwibawa.

Jelasnya, Tony sepatutnya memahami betapa pentingnya perpaduan dan kerjasama antara parti politik untuk membangunkan negara, namun, kenyataan beliau yang mengecam BN secara terbuka hanya akan menambah ketegangan dan menghalang proses pembinaan keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kenyataan Tony Pua juga menunjukkan sikap yang tidak bertanggungjawab dalam mencetuskan kebencian politik. Dalam suasana politik yang sudah cukup tegang, pemimpin seharusnya menggalakkan dialog dan perbincangan yang membina, bukan memprovokasi perpecahan dan permusuhan di antara pihak-pihak yang berbeza.

“Tindakan seperti ini hanya akan memperburukkan lagi keadaan dan menghalang usaha-usaha untuk mencapai stabiliti politik yang diperlukan untuk pembangunan negara,” ujar beliau lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com