PETALING JAYA: Malaysia terus diiktiraf sebagai antara negara paling aman di dunia walaupun berdepan realiti kepelbagaian kaum, agama dan latar serantau yang kompleks, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata keupayaan negara mengurus perbezaan secara berhemah telah meningkatkan keyakinan masyarakat antarabangsa serta mengukuhkan peranan Malaysia sebagai kuasa penstabil di peringkat serantau.
Menurut Anwar, kedudukan Malaysia sebagai negara aman turut menyumbang kepada penghormatan yang diberikan oleh negara jiran dan komuniti antarabangsa, termasuk kepercayaan untuk membantu memudah cara dialog serta meredakan ketegangan di rantau ini.
Kepercayaan tersebut, katanya, terbukti apabila beberapa negara serantau memilih Malaysia sebagai rakan dalam usaha menggalakkan rundingan dan penyelesaian konflik secara aman.
Perdana Menteri menyampaikan kenyataan itu ketika berucap pada majlis Minum Petang Sambutan Krismas anjuran Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) di Petaling Jaya.
Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusoff serta kira-kira 800 tetamu daripada komuniti Kristian.
Majlis itu turut diserikan dengan beberapa persembahan sebagai simbol keharmonian dan kepelbagaian masyarakat Malaysia.