SEBERANG JAYA: Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menyifatkan Langkah Dubai yang bertujuan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya sekadar khayalan dan angan-angan ‘Mat Jenin.
Tegasnya, tindakan tersebut tidak mempunyai asas sama sekali kerana sokongan terhadap Anwar masih utuh dan langkah terbaik waktu ini adalah memberi masa kepada kerajaan sedia ada mentadbir dan mengurus negara.
Katanya, jika pembangkang mahu menukar kerajaan, mereka perlu menunggu sehingga Pilihan Raya Umum (PRU-16).
“Siapa yang ada cita-cita dan hasrat untuk menjadi kerajaan tunggulah pilihan raya akan datang. Jadikan itu sebagai satu disiplin dan cara politik untuk kita menguruskan negara ini.
“Malaysia mengamalkan demokrasi yang mana ada pilihan raya setiap lima tahun, boleh berkempen (dan bertanding pada PRU),” katanya.
Shamsul Iskandar berkata demikian ketika ditanya mengenai sindiran Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Anwar berhubung Langkah Dubai.
Dalam masa sama,beliau turut hairan dan pelik dengan Dr Mahathir yang langsung tidak mengulas atau menyentuh mengenai Langkah Sheraton.
“Saya hairan dan pelik mengapa tidak dinyatakan Langkah Sheraton. Beliau mengulas tentang Langkah Kajang dan sebagainya… tetapi tidak mengambil pendirian tentang Langkah Sheraton yang kita tahu… Tun M mula-mula menjadi PM pun beliau memulakan langkah juga untuk memastikan Anwar tidak menjadi PM.
“Jadi saya fikir kumpulan-kumpulan yang menggerakkan Langkah Dubai ini untuk menumbangkan kerajaan dan sebagainya itu… pada saya sekadar khayalan dan angan-angan Mat Jenin yang tentunya tidak mempunyai asas sama sekali,” katanya.
Dalam pada itu, Shamsul Iskandar mendakwa langkah untuk menumbangkan kerajaan itu mula dirancakkan kembali oleh pihak tertentu menjelang pertukaran giliran Yang di-Pertuan Agong.
Justeru, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk memulakan tindakan undang-undang supaya perkara ini dapat dihentikan kerana ia seolah-olah percubaan untuk mewujudkan keresahan kepada masyarakat.
Shamsul Iskandar ditemui di perkarangan Balai Polis Seberang Jaya, selepas selesai membuat laporan polis terhadap ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard pada Sabtu.
Laporan itu adalah susulan dakwaan yang dibuat Chegubard berhubung penyelewengan dana badan bukan kerajaan (NGO) yang mengaitkan namanya di laman Facebook.