Monday, 13, May, 2024
Utama Politik PH-BN perlu strategi ampuh cipta kemenangan pada PRN

PH-BN perlu strategi ampuh cipta kemenangan pada PRN

oleh Ammar Haziq

BUTTERWORTH – Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) harus mempunyai strategi yang ampuh untuk mencipta kemenangan bergaya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri nanti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, syaratnya seluruh tenaga jentera perlu dikerahkan dalam menghadapi PRN sekali gus memenangkan calon-calon PH dan BN yang bertanding.

Beliau berkata satu strategi ampuh perlu dirangka oleh kedua-dua gergasi politik itu bagi mengumpul kekuatan akar umbi parti masing-masing.

Katanya, pada masa sama, untuk kedua-dua parti politik gergasi tanah air itu meraih kemenangan ialah dengan mengerah kerjasama seluruh jentera parti yang berada dalam Kerajaan Perpaduan.

“Ini pesan saya, UMNO ada pangkalan di kampung-kampung, DAP ada pangkalan di bandar, PKR campur-campur sikit. Kalau PH dan BN ini ada strategi yang ampuh, kumpul kekuatan akar umbi dia untuk masa depan.

“Tiada siapa yang mampu menggoyahkan kedudukan kita, percayalah, tiada siapa yang boleh goyangkan kita,” katanya yang juga Pengerusi PH ketika berucap pada himpunan Jelajah Perpaduan MADANI dan Pelancaran Jentera Perpaduan Negeri Pulau Pinang di Tapak Ekspo Seberang Jaya di sini malam tadi.

Turut hadir Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu; Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow serta pemimpin kanan BN dan PH.

Presiden PKR itu dan yakin gabungan gergasi PH-BN akan menempa sejarah dengan keputusan luar biasa di Pulau Pinang.

Beliau berkata buat julung kalinya, PH yang sebelum ini memerintah dan BN sebagai pembangkang kuat di Pulau Pinang, kini bergabung.

Anwar, yang mengakhiri jadual padat dalam lawatan kerja ke Pulau Mutiara malam tadi, berkata gabungan PH-BN bukan untuk mengekalkan kuasa sebaliknya bersandarkan prinsip menyelamatkan negara dan menjaga tata kelola baharu Malaysia.

“Kalau kita lihat perkiraan biasa, (melalui) gabungan dua gergasi ini saya percaya kita akan tempa keputusan luar biasa di Pulau Pinang,” katanya.

Ahli Parlimen Tambun itu juga berkata rekod pentadbiran PH di bawah Kon Yeow adalah baik dan beliau akan kekal sebagai Ketua Menteri sekiranya gabungan PH-BN memenangi PRN di Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com