Sunday, 28, April, 2024
Utama Politik Fitnah cemar nama baik PMO, Shamsul Iskandar lapor polis

Fitnah cemar nama baik PMO, Shamsul Iskandar lapor polis

oleh Ammar Haziq

BUKIT MERTAJAM: Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin akan menghantar notis tuntutan kepada Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin berikutan kenyataan fitnah kononnya Pejabat Perdana Menteri (PMO) sudah menjadi lubuk korupsi.

Menurutnya, hantaran yang dibuat oleh seteru politiknya itu langsung tidak berasas, berniat jahat dan mahu mencemarkan nama baik PMO.

Beliau berkata, hantaran Facebook oleh seorang pengguna aplikasi Facebook yang dimuat naik pada 5 Januari dengan ketetapan akses kepada umum sangat tidak bertanggungjawab malah tidak disokong dengan sebarang bukti.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan dan tohmahan jahat yang telah dibuat ke atas diri saya dan Pejabat Perdana Menteri.

“Kita alu-alukan sebarang pandangan dan kritikan, namun ia tidak boleh dibuat dalam bentuk cemuhan dan juga fitnah serta tuduhan tidak berasas. Saya harap pihak bertanggungjawab boleh jalankan siasatan dan segara mengambil tindakan berikutan apa yang diceritakan itu tidak mempunyai sebarang asas, dokumen dan ia hanya sekadar rekaan untuk memburukkan imej saya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Sabtu.

Sebelum itu, Shamsul Iskandar tampil membuat laporan di Balai Polis Seberang Jaya selain turut membuat laporan secara dalam talian kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berikutan hantaran dibuat Badrul Hisham atau lebih dikenali Che’GuBard.

Dalam hantaran itu, Che’GuBard mendakwa sedang menyusun dokumen bukti mengenai penyelewengan dana NGO yang diagih oleh Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri.

Beliau mendakwa Shamsul Iskandar melalui staf dan proksinya menyusun rakan-rakan politik mereka untuk agih dana bantuan NGO termasuk agihan bakul makanan serta sebagainya.

Jelasnya, semua penyelewengan itu akan didedahkan pada 8 Januari depan termasuk menyerahkan segala bukti kepada pihak berkuasa.

Susulan hantaran yang dibuat Che’GuBard itu, Shamsul Iskandar berkata, beliau mahu pihak polis dan SKMM mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit berikutan provokasi yang dibuat.

“Kalau ada bukti sila kemukakan kepada pihak-pihak yang mempunyai kuasa, kalau ada penyelewengan sila laporan kepada SPRM, rasuah juga SPRM dan tak perlu buat hantaran yang hanya mengundang keresahan rakyat.

“Memang dalam negara demokrasi ini sesiapa sahaja boleh mengkritik namun bukan dengan cara fitnah…Tindakan tegas ini akan beri pengajaran kepada pihak pembangkang agar tidak keterlaluan untuk merosakkan imej orang lain dengan sewenang-wenangnya mereka cerita,” ujarnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com