BALING – Suasana di Bazar Ramadan Taman Seri Harapan bertukar hiba apabila seorang lelaki warga emas ditemui tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia, petang Ahad.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.30 petang pada hari pertama Ramadan itu, mangsa, Zainon Said, 75, dari Kampung Banggol Asam, Pulai, tiba-tiba rebah di tengah-tengah kesibukan bazar sebelum disahkan meninggal dunia dipercayai akibat penyakit kronik yang dihidapinya.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Azmi Mokhtar, berkata anak lelaki mangsa yang berusia 51 tahun menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan bahawa bapanya rebah dan tidak sedarkan diri di bazar tersebut.
“Susulan makluman itu, anak mangsa menghubungi Pejabat Kesihatan Kupang, manakala Ketua Balai Polis bersama dua anggota rondaan cegah jenayah (RCJ) bergegas ke lokasi untuk menjalankan siasatan.
“Hasil siasatan mendapati warga emas terbabit sudah meninggal dunia di tempat kejadian. Berdasarkan temu bual dengan anaknya, mangsa mempunyai sejarah penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi,” katanya yang dipetik melalui Harian Metro.
Menurut Azmi, mangsa juga pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar akibat pendarahan usus serius dan menerima rawatan di Klinik Kesihatan Parit Panjang, Kupang.
“Hasil siasatan lanjut mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian ini.
“Saksi di tempat kejadian mengesahkan bahawa mangsa tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa pulang ke rumahnya di Kampung Banggol Asam Jawa untuk urusan pengebumian.
Kejadian ini mengingatkan kita semua akan kepentingan menjaga kesihatan, khususnya dalam kalangan warga emas, terutamanya ketika cuaca panas dan berpuasa.