KUALA LUMPUR: Insiden kapal milik PETRONAS yang dikepung dan dihalau sekumpulan bot nelayan di perairan berhampiran Ketapang, Pulau Madura, Indonesia, baru-baru ini disahkan telah diselesaikan secara baik melalui saluran diplomatik antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun kerajaan memandang serius insiden berkenaan, ia belum sampai ke tahap yang memerlukan beliau membangkitkannya terus kepada Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.
“Gangguan terhadap kapal PETRONAS itu tidak sampai ke peringkat yang memerlukan saya menghubungi Presiden Prabowo. Hubungan kita dengan Indonesia amat baik dan soal sempadan ini kita selesaikan sebagai sahabat,” katanya semasa menjawab soalan di Dewan Rakyat.
Anwar menjelaskan, kapal berkenaan menjalankan aktiviti cari gali di kawasan perairan milik Malaysia dan tidak menceroboh mana-mana kawasan negara lain.
“PETRONAS hanya menjalankan aktiviti cari gali di kawasan milik kita. Kadang-kadang berlaku juga kes pencerobohan oleh nelayan sama ada dari Malaysia ke Indonesia atau sebaliknya, namun semua diselesaikan secara baik,” ujarnya.
Perdana Menteri menegaskan, isu sempadan maritim antara Malaysia dan negara jiran perlu ditangani dengan tenang dan berhemah bagi mengekalkan hubungan baik dua hala.
“Pada peringkat ini, kerajaan tidak bercadang menubuhkan Suruhanjaya Tetap Persempadanan, sebaliknya meneruskan perbincangan diplomatik bersama negara terlibat,” katanya.
Beliau menjelaskan, rundingan yang dijalankan ketika ini turut menyentuh pelbagai aspek persempadanan, termasuk dengan Thailand, Vietnam, Singapura dan Brunei yang masih mempunyai beberapa kawasan belum dimuktamadkan.
Dalam pada itu, ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Anwar memberi jaminan bahawa hubungan serta kerjasama Malaysia dengan kuasa luar akan terus kekal kukuh selepas tamat tempoh kepengerusian ASEAN.
Beliau berkata, Malaysia akan terus memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kedudukan ASEAN sebagai platform perpaduan serantau dan pusat dialog bagi kuasa dunia.
“Sekurang-kurangnya, Amerika Syarikat melihat Malaysia sebagai negara yang berperanan penting dan mampu mengumpulkan negara-negara dengan pandangan berbeza.
“Kita kekalkan dasar luar yang bersahabat dengan semua pihak — menjaga kepentingan rakyat dari segi perdagangan, geopolitik dan pelaburan,” katanya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akan berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Oktober ini, disertai 10 pemimpin negara anggota ASEAN serta pemimpin dan wakil dari pelbagai benua. Timor-Leste juga dijangka hadir sebagai bakal anggota ke-11 ASEAN.
 
			         
			        