Tuesday, 23, April, 2024
Utama Sukan KDA FC, Aidil Sharin bawa haluan masing-masing

KDA FC, Aidil Sharin bawa haluan masing-masing

oleh Ammar Haziq
Aidil Sharin Sahak

ALOR SETAR, 17 Okt. – Kedah Darul Aman FC (KDA FC) hari ini meraih persetujuan bersama Ketua Jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak untuk membawa haluan masing-masing menjelang permulaan Piala Malaysia, tidak lama lagi.

Sehubungan itu menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KDA FC, Khamal Idris Ali, tugas tersebut akan dipangku sementara oleh Victor Andrag yang sebelum ini bertindak sebagai Penolong Ketua Jurulatih.

“KDA FC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala sumbangan khdimat Aidil Sharin Sahak bersama pasukan Kedah sepanjang empat tahun di bumi jelapang padi.

“Ahli Lembaga Pengarah KDA FC memberi keutamaan perancangan kelab untuk musim 2023 dan mengumumkan untuk membawa haluan berbeza dengan Aidil Sharin untuk baki saingan Liga Malaysia musim ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Khamal menambah, KDA FC mengucapkan selamat maju jaya dengan kerjaya kejurulatihan Aidil di masa depan dan percaya pengalamn kejurulatihannya cukup berharga bagi mana-mana kelab di liga domestik dan Asean.

Sepanjang empat musim mengemuid KDA FC, Aidil telah berjaya membawa pasukan itu muncul Juara Piala FC 2019, Naib Juara Piala Malaysia 2019 serta Naib Juara Liga Super musim 2020 dan 2021.

Selain itu, Aidil turut membawa KDA FC layak tiga tahun berturut-turut ke pentas Asia dengan layak ke perlawanan ‘Play-Off’ Liga Juara-Juara AFC 2020 dan ke saingan Piala AFC pada 2021 serta 2022.

Sementara itu Pemegang Saham terbesar KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar dalam satu kenyataan berbeza memaklumkan, banyak tindakan perlu dilakukan untuk membentuk pasukan baharu di masa depan termasuk bagi menghadapi Piala Malaysia.

Katanya, akan ada tindakan pentadbiran yang tidak popular dan sukar kepada sebahagian pihak dengan perkara itu merupakan satu kelaziman dalam pengurusan sesebuah kelab bola sepak di seluruh dunia.

“Kepada individu yang telah berjasa di bawah naungan Sang Kenari, jasa anda sentiasa dalam lipatan sejarah bola sepak Kedah. Tindakan yang sukar ini tidak menafikan rasa hormat dan pengharagaan kami semua yang tinggi.

“Sekali bersama Sang Kenari, selamanya Sang Kenari! Saya juga akan melihat kelemahan yang ada dalam aspek pengurusan pasukan San Kenari,” katanya.

Menurutnya, pasukan tersebut telah menamatkan Liga Super 2022 dalam keadaan yang amat tidak memberangsangkan namun beliau percaya, mereka telah mencuba sedaya upaya di sepanjang musim ini.

“Saya juga ingin percaya bahawa pasukan-pasukan lain telah meningkatkan prestasi mereka secara komprehensif dan konsisten mulai 2021. Sang Kenari pula tidak banyak menambahkan kapasiti.

“Minda tenang sebagai naib juara Liga Super untuk dua tahun berturut-turut juga mungkin penyebab kepada aras minda dan kesungguhan serta kecergasa Sang Kenari menurun,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com