Friday, 24, May, 2024
Utama Negeri Kabin kontena musnah di kediaman rasmi MB Kedah dipercayai akibat letupan

Kabin kontena musnah di kediaman rasmi MB Kedah dipercayai akibat letupan

oleh Ammar Haziq
Siasatan kemusnahan kontena itu kini masih dijalankan mengikut Seksyen 436, Kanun Keseksaan iaitu khianat menggunakan bahan letupan terhadap sebuah rumah.

ALOR SETAR, 28 Okt. – Kejadian simbahan cat di tembok kediaman rasmi Menteri Besar Kedah, Seri Mentaloon pada 17 Oktober lalu, rupa-rupanya didahului dengan kemusnahan terhadap sebuah kabin kontena yang terletak dalam kawasan tersebut.

Difahamkan kabin kontena kosong itu yang dijadikan stor di kediaman rasmi tersebut, musnah akibat letupan yang berlaku pada 16 Oktober, kira-kira pukul 2.30 pagi.

Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, pihaknya menerima laporan mengenai kemusnahan kontena itu pada 18 Oktober 2022, kira-kira pukul 3.49 petang.

“Siasatan awal dijalankan membawa kepada penemuan beberapa sampel dan bahan bukti dipercayai digunakan untuk menghasilkan letupan.

“Pihak polis mengesyaki kejadian tersebut mempunyai unsur jenayah khianat menggunakan bahan letupan dengan kesemua sampel ditemui, telah dihantar ke makmal bagi dianalisis dengan lebih lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada 17 Oktober lalu, pengguna jalan raya yang melalui jalan utama di depan kediaman rasmi tersebut di Pantai Johor, digemparkan dengan kejadian simbahan cat berwarna merah dan biru yang mengenai tembok serta pagar utamanya.

Kejadian simbahan cat itu dipercayai berlaku ketika Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tidak berada di kediaman rasmi tersebut kerana beliau berada di Kuala Lumpur untuk tugasan rasmi.

Difahamkan kediaman rasmi tersebut tidak memiliki kamera litar tertutup (CCTV).

Ketua Polis Kedah menambah, siasatan kemusnahan kontena itu kini masih dijalankan mengikut Seksyen 436, Kanun Keseksaan iaitu khianat menggunakan bahan letupan terhadap sebuah rumah.

“Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dipenjara hingga 20 tahun dan dikenakan denda,” katanya.

Tambahnya, siasatan lanjut sedang dijalankan secara terperinci bagi mengenal pasti suspek dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian tersebut.

“Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh menyalurkannya secara terus kepada pegawai penyiasat, ASP Che Intan Subri di talian 013-9329614 atau 04-7321222.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com