Wednesday, 24, April, 2024
Utama Negeri Kedah tegas selamatkan rakyat daripada judi – DUPP

Kedah tegas selamatkan rakyat daripada judi – DUPP

oleh Ammar Haziq
Datuk Ahmad Yahya

KENYATAAN MEDIA
DEWAN ULAMAK PAS PUSAT

TAHNIAH KERAJAAN NEGERI KEDAH
TEGAS SELAMATKAN RAKYAT DARIPADA BAHANA JUDI

  1. Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kerajaan Negeri Kedah di atas ketegasan menghapuskan lesen premis perjudian di negeri itu yang berkuatkuasa 1 Januari 2023. Pelaksanaan dasar itu sekaligus memenuhi sebahagian daripada tuntutan Al-Quran sendiri yang mencegah umatnya daripada najis judi.
  2. Tindakan sedemikian menjadikan Kedah negeri ketiga selepas Kelantan dan Terengganu yang menamatkan lesen premis perjudian di bawah Kerajaan Negeri yang ditadbir oleh PAS. Diharapkan dasar ini berterusan dan najis judi tidak lagi bertapak di bumi Jelapang Padi.
  3. Di sebalik pelbagai reaksi yang meragui kemampuan negeri meneruskan kelangsungan akibat penutupan premis judi ini, Kedah mendapat pelaburan tertinggi dalam sejarahnya sepanjang tahun 2021, menghasilkan deretan projek mega berimpak tinggi selain berjaya menghasilkan ratusan ribu peluang pekerjaan di negeri itu.
  4. Alhamdulillah, satu pintu kerosakan ditutup, jutaan pintu keberkatan dan rezeki yang melimpah ruah dibuka. Inilah tunjang keberkatan daripada Yang Maha Esa insyAllah.
  5. DUPP ingin menyeru Kerajaan Persekutuan supaya turut mempunyai tekad politik yang sama. Tidak wajar sekadar berbangga dengan penurunan cabutan undi tetapi premis judi masih dibiarkan membelenggu masyarakat di negara ini. Ketengahkan dasar yang mendidik rakyat dalam neraca manusiawi yang betul berpandukan agama.
  6. DUPP yakin dan percaya bahawa tidak ada dapatan yang menunjukkan aktiviti perjudian boleh membawa masyarakat keluar daripada kepompong kemiskinan. Ia hanya ilusi ibarat sebuah fatamorgana.
  7. Bahkan, lebih malang aktiviti perjudian sebaliknya membawa kepada keruntuhan moral serta mengganggu keharmonian keluarga dan masyarakat. Justeru, pelaksanaan dasar yang tegas terhadap judi wajar dilaksanakan tanpa syarat.

Sekian, terima kasih.

YB USTAZ DATO’ HAJI AHMAD BIN YAHAYA
KETUA DEWAN ULAMAK PAS PUSAT

9 JAMADILAKHIR 1444 HIJRI | 2 JANUARI 2023 MILADI

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com