Sunday, 14, July, 2024
Utama Negeri Maritim Kuala Kedah rampas 300 set bubu naga

Maritim Kuala Kedah rampas 300 set bubu naga

oleh Ammar Haziq
Kesemua bubu yang dirampas bernilai RM36,000. FOTO MARITIM

KUALA KEDAH, 31 Januari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Zon Maritim Kuala Kedah berjaya merampas 300 set ‘bubu kambang’ atau bubu naga dalam satu operasi khas yang dilaksanakan bersama komuniti nelayan di beberapa lokasi sepanjang perairan Pantai Murni hingga ke Tanjung Dawai pada awal pagi semalam.

Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Kuala Kedah, Leftenan Maritim Zool Hilmi bin Mohd Nadzir berkata, operasi khas ini dilaksanakan berdasarkan aduan awam di lokasi berkenaan yang kerap kali diterima oleh pihak Maritim Malaysia. 

Sepuluh lokasi rampasan bubu naga itu adalah di sekitar 1.3 hingga 1.9 batu nautika merangkumi kawasan perairan Pantai Murni hingga ke perairan Tanjung Dawai.

Semasa rondaan dilakukan, anggota bot ronda Maritim Malaysia telah menemukan pelampung penanda dan pancang kayu yang mencurigakan dipasang pada setiap bubu naga berukuran kira-kira 10 meter panjang itu.

Kesemua bubu naga yang dirampas adalah dianggarkan bernilai RM 36, 000  dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.

Penggunaan bubu naga semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini dan ia perlu dicegah bermula di peringkat penjualan oleh pihak berwajib kerana tindakan merampas tidak akan memberi kesan memandangkan ia masih boleh dibeli di pasaran dengan harga murah secara fizikal mahupun secara dalam talian.

Komuniti nelayan juga diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan seperti yang telah diperuntukan.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang Persekutuan dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.

Sebarang aduan mengenai aktiviti jenayah atau kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579 atau MERS 99 untuk maklum balas segera.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com