Thursday, 2, May, 2024
Utama Negeri UUM diiktiraf universiti awam nombor satu terbaik Malaysia bawah usia 50 tahun

UUM diiktiraf universiti awam nombor satu terbaik Malaysia bawah usia 50 tahun

oleh Ammar Haziq

SINTOK – Universiti Utara Malaysia (UUM) diiktiraf sebagai universiti ke-95 terbaik dunia di bawah usia 50 tahun oleh Times Higher Education (THE) Young University Rankings 2023, sekali gus meletakkan UUM sebagai universiti awam nombor satu terbaik di Malaysia dalam penarafan tersebut.

Kedudukan UUM melonjak 75 anak tangga untuk berada di kedudukan ke-95 terbaik dunia didorong oleh indikator sitasi (citation), selain mengekalkan markah tinggi untuk kategori pengajaran dan penyelidikan.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua warga UUM termasuk mantan Naib-naib Canselor dan alumni UUM.

“Pada 16 Februari 2024, UUM akan mencecah usia 40 tahun dan pencapaian ini semestinya perkhabaran terindah buat seluruh keluarga besar UUM, alumni dan pihak luar yang turut membantu dalam kejayaan universiti ini.

“Kedudukan ke-95 ini juga secara tidak langsung meletakkan imej dan nama UUM sebaris dengan universiti ternama dunia lain,” katanya ketika mengulas keputusan penuh THE Young University Rankings 2023 yang diterbitkan pada jam 5 petang, hari ini (waktu tempatan).

Pada 23 Jun lalu, THE Asia University Rankings 2023 mengumumkan UUM telah berjaya membuat lonjakan 56 anak tangga sehingga berada dalam kelompok 100 universiti terbaik Asia dalam tempoh tiga tahun sejak 2021, sekali gus menjadi universiti awam kedua terbaik Malaysia.

Dr. Mohd Foad berkata, pencapaian terbaik setakat ini tidak meletakkan keluarga besar UUM untuk berpeluk tubuh, sebaliknya usaha digandakan lagi untuk pencapaian lain.

“Ini termasuklah meneruskan usaha memperkasakan UUM sebagai pusat rujukan dalam bidang pengurusan dan pendidikan pengurusan, selain berperanan untuk menjadikan UUM sebagai pemangkin pembangunan wilayah utara.

“UUM mesti terus rancak memperkasakan mahasiswa supaya graduan yang dihasilkan mendapat pengetahuan dan kemahiran yang sesuai dengan kehendak industri,” katanya.

THE Young University Rankings 2023 menggunakan 13 indikator dalam lima kategori iaitu pengajaran (30 peratus), penyelidikan (30 peratus), sitasi (30 peratus), pandangan antarabangsa (7.5 peratus) dan pendapatan industri (2.5 peratus).

Untuk rekod, UUM julung kali tersenarai pada 2019 di kedudukan 201-250 dan kedudukan tersebut terus melonjak sehingga 2022 di mana UUM berada di tangga 170.

Badan penarafan yang berpangkalan di London ini telah menyenaraikan 605 universiti dari 78 negara pada edisi kali ini dan merupakan penyenaraian terbanyak setakat ini.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com