Friday, 22, November, 2024
Utama Politik PRN pentas bentang hala tuju, bukan medan mencerca lawan – Anwar

PRN pentas bentang hala tuju, bukan medan mencerca lawan – Anwar

oleh admin

SEPANG – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah pentas terbaik bagi pemimpin politik membentangkan hala tuju parti dan bukannya menjadi medan mencerca pihak lawan.

Perdana Menteri berkata, rakyat dan pengundi sudah matang serta cukup bijak dalam menilai setiap yang diperkatakan oleh pemimpin politik sama ada ia membawa manfaat kepada kehidupan mereka dan negara atau sebaliknya.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, beliau tidak kisah dihina tetapi tidak rela melihat rakyat diperbodoh oleh pemimpin politik khususnya Perikatan Nasional (PN) yang saban hari membohongi rakyat bagi menutup kegagalan mereka semasa menjadi kerajaan.

“Dalam kempen beliau, hari-hari (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) kata Anwar bodoh, tidak tahu pasal ekonomi… itu dia cakap dan saya tak kisah pun, janji saya dan kita semua tahu apa yang dibuat untuk kemajuan ekonomi dan negara.

“Saya nak ingatkan Muhyiddin, tak guna maki orang, ini bukan masanya. Apa yang saya mahu adalah kamu dan Pas ceritakan apa yang kamu buat semasa jadi kerajaan dan apa yang parti kamu mahu buat selepas ini untuk rakyat,” katanya pada ceramah Jelajah Perpaduan sempena PRN Selangor di Tanjong Sepat, dekat sini, pada Selasa.

Turut hadir calon PH dan Barisan Nasional (BN) bagi DUN Tanjong Sepat Borhan Aman Shah, calon DUN Dengkil Noorazli Said dan calon DUN Sungai Pelek Lwi Kian Keong.

Sehubungan itu, Anwar mengingatkan pengundi di Selangor bahawa PRN adalah medan untuk rakyat memilih pemimpin yang mewakili parti politik dengan dasar membantu rakyat dan memakmurkan negeri.

Beliau juga mahu rakyat terutama pengundi di tiga DUN di bawah Parlimen Sepang itu membuktikan bahawa mereka tidak akan membuat kesilapan dengan memberi undi kepada parti yang sering memperbodohkan rakyat, memainkan isu perkauman dan agama serta berani ‘melawan’ istana.

“Saya mahu anda semua berikan sokongan kuat kepada semua calon PH-BN, kita buktikan kepada PAS dan Bersatu yang rakyat lebih bijak dalam menilai calon dan parti mana yang mendahulukan rakyat.

“Mari kita bekerja keras, saya mahukan kemenangan besar di semua kerusi yang ditandingi… kita bagi knock out kepada Bersatu dan PAS pada PRN ini,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi bagi PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan diadakan serentak pada 12 Ogos dengan undi awal pada 8 Ogos.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com