Wednesday, 8, May, 2024
Utama Nasional Generasi muda perlu teladani Tun Dr Ismail

Generasi muda perlu teladani Tun Dr Ismail

oleh admin

KUALA LUMPUR – Ketegasan dan integriti tinggi yang menjadi pegangan utuh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail Abdul Rahman perlu diteladani oleh generasi muda masa kini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dua nilai berkenaan perlu disemat sebagai pegangan anak muda.

Ini kerana, katanya generasi muda mempunyai tanggungjawab besar terutamanya untuk menyelamatkan negara.

“Satu aspek lain kita perlu belajar adalah soal integriti dalam politik, bagaimana mampu kita lahirkan generasi sekarang… orang yang tumpuannya itu semata-mata untuk kita lahirkan generasi termasuk anak muda yang terpahat dengan prinsip yang sama iaitu sama-sama membangun menolak kebejatan sosial, rasuah dan penyelewengan kuasa.

“Kita harus menyoal bagaimana, apakah masalahnya puluhan tahun kemudian, ada tokoh-tokoh tak mahu saya sebutkan… yang sukar ditandingi dan disaingi prinsip integriti sedemikian, yang suarakan ketegasan, punya peribadi sosok menentang rasuah, tatakelola baik dan digeruni rakyat.

“Mari kita doa mudah-mudahan semangat itu terpancar dan dihadam oleh anak muda terutamanya, bahawa kita punya tugas dan tanggungjawab menyelamatkan negara dan menjadikan sambutan Hari Kemerdekaan Tanah Melayu 1957 dengan menggali khazanah dan menjadikan cita-cita murni pahlawan bangsa serta negarawan ulung terutama Tun Dr Ismail sebagai perjuangannya.

“Perkara ini perlu hidup dalam negara kita, negara akan selamat jika ada integriti, kerana apa, orang tahu kita tidak boleh dibeli, tidak makan pujuk rayu, wang dan harta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di majlis memperingati negarawan ‘Tonggak Perpaduan Negara’ sempena sambutan Bulan Kebangsaan di Dataran Merdeka di sini, hari ini.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com