Sunday, 14, July, 2024
Utama Gaya Hidup Dunia penyiaran akan merindui Raymond Goh – PM

Dunia penyiaran akan merindui Raymond Goh – PM

oleh admin

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga penyampai berita TV3, Raymond Goh atau Muhammad Zaman Goh Abdullah yang meninggal dunia pada pagi tadi.

Beliau juga mendoakan agar keluarga Allahyarham tabah dalam menghadapi dugaan itu.

“Saya mengutuskan salam takziah kepada keluarga penyampai berita Nightline TV3, Allahyarham Raymond Goh atau Mohd Zaman Goh yang meninggal dunia pagi tadi.

“Mendoakan semoga mereka tabah menghadapi dugaan ini.Dunia penyiaran akan merindui Allahyarham dan sudah pastinya juga, jasa beliau akan terus dikenang buat selama-lamanya,” kata Anwar menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 62 tahun di sebuah pusat perubatan swasta di Petaling Jaya, Selangor sekitar pukul 10.40 pagi.

Sebelum itu, Allahyarham dilaporkan kritikal selepas diserang angin ahmar dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.

Menurut isteri Allahyarham, Faridah Teh, solat jenazah akan diadakan di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Asar.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com