Saturday, 4, May, 2024
Utama Ekonomi Hanya RM10 sehari, kemudahan Inapan RAHMAH kepada belia, pencari kerja

Hanya RM10 sehari, kemudahan Inapan RAHMAH kepada belia, pencari kerja

oleh admin

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini melancarkan Youth Capsule (Y-Capsule) @IYCResidence
bagi memberi manfaat kemudahan inapan kepada golongan belia yang mencari peluang pekerjaan di ibu negara.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata kemudahan ini yang akan mula beroperasi Jumaat ini, diberikan kepada golongan sasar berusia 18 hingga 40 tahun dengan kadar RAHMAH hanya RM10 sehari.

“Program ini menyasarkan belia yang berhasrat untuk menjalani latihan industri, pencari kerja dan golongan yang telah bekerja tetapi tidak mempunyai tempat untuk menginap.

“Saya harap ia akan menggalakkan lebih ramai belia memperolehi motivasi untuk mendapatkan pekerjaan khususnya yang datang daripada luar bandar dengan kadar yang murah,” katanya pada sidang media selepas melancarkan program berkenaan di sini hari ini.

Fasiliti yang terletak di bangunan sedia ada Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Cheras, di sini menyediakan lima bilik dormitori dengan kapasiti 54 katil dan dilengkapi kemudahan lengkap seperti peralatan masak, dobi layan diri, internet serta perhentian bas berdekatan untuk penginap.

Hannah berkata inisiatif di bawah Kementerian Belia dan Sukan menerusi Pengurusan IYC itu diusahakan memandangkan berdasarkan statistik, 38 peratus dari golongan gelandangan di ibu negara merupakan golongan belia berusia 18 hingga 30 tahun.

“Kita susah untuk dapatkan dana untuk bina fasiliti baharu, sebab itu itu kita lihat fasiliti yang sedia ada dan buat seperti program ini.

“Saya gesa agensi kerajaan untuk buka ruang sama seperti ini kepada golongan belia,” katanya.

Hannah yang juga ahli Majlis Pekerjaan Negara berkata menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, setakat suku kedua tahun ini, daripada 16.15 juta pekerja dalam negara, 6.08 juta ialah belia.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com