Monday, 29, April, 2024
Utama Negeri Banjir di Kedah semakin buruk, mangsa meningkat 603 orang

Banjir di Kedah semakin buruk, mangsa meningkat 603 orang

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Banjir di Kedah semakin buruk apabila mangsa terus meningkat kepada 603 orang daripada 174 keluarga yang ditempatkan di enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat  jam 5 petang pada Rabu.

Jumlah tersebut meningkat berbanding 341 mangsa daripada 102 keluarga yang dicatatkan pada jam 11 pagi pada Rabu.

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, dua PPS baharu dibuka di daerah Kubang Pasu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Malau dan Dewan PPK Lubuk Batu.

“PPS di SK Malau dibuka jam 11 pagi hari ini menempatkan seramai 32 mangsa daripada lapan keluarga manakala PPS Dewan PPK Lubuk Batu yang baru dibuka menempatkan seramai 41 mangsa daripada 14 keluarga.

“PPS sedia ada di Kubang Pasu iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun pula menempatkan seramai 113 mangsa daripada 32 keluarga.

“PPS Dewan Kampung Tradisi yang dibuka sejak Selasa pula menempatkan seramai 22 mangsa daripada tujuh keluarga,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ujarnya, PPS di SK Taman Aman di daerah Kota Setar pula meningkat kepada 98 mangsa daripada 31 keluarga berbanding 40 mangsa daripada 12 keluarga pada jam 11 pagi tadi.

Beliau berkata, PPS di SK Bukit Hijau juga turut meningkat kepada 297 mangsa daripada 82 keluarga berbanding 73 mangsa daripada 21 keluarga pagi tadi.

“Sehubungan itu, penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir dinasihatkan berpindah ke PPS atau tempat selamat sekiranya rumah mereka terus dinaiki air,” katanya.

Bagaimanapun, sebuah PPS di Dewan Taman Seri Bagan di daerah Kota Setar yang menempatkan 40 mangsa daripada 14 keluarga sudah ditutup sepenuhnya pada jam 1.34 petang pada Rabu.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com