Tuesday, 14, May, 2024
Utama Nasional Anwar akan fikir dahulu rombak kabinet atau tidak

Anwar akan fikir dahulu rombak kabinet atau tidak

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR:Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang mempertimbangkan samada beliau akan melakukan rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan atau tidak.

Katanya, beliau perlu berfikir dahulu mengenai perkara itu di sebalik desas-desus akan berlaku rombakan dalam masa terdekat.

“Saya tengah fikir dulu (rombakan Kabinet),” katanya ringkas ketika ditanya berhubung perkara itu di sini hari ini.

Sebelum itu, beliau hadir merasmikan Majlis Penutupan Sidang Kemuncak Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Malaysia anjuran Huawei Technologies (M) Sdn Bhd, di sini pada Rabu.

Sidang kemuncak dua hari yang bermula semalam bertujuan menggalakkan pembangunan inovasi dan prasarana ICT, selain mendorong lebih banyak peluang pertumbuhan ekonomi digital mampan serta peningkatan perindustrian Malaysia

Sebelum ini media melaporkan Anwar bersedia membuat rombakan dalam masa terdekat, antaranya melibatkan Kabinet, Ketua Setiausaha (KSU), anggota birokrasi, kakitangan awam, dan pejabatnya sendiri.

Desa-desus rombakan Kabinet timbul selepas jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup kosong kerana kematian penyandang, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil hari ini dilapor berkata tiada perbincangan mengenai rombakan Kabinet dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

“Tentang rombakan, tiada perbincangan,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com