Tuesday, 21, May, 2024
Utama Sukan Perebutan Naib juara Liga Super : Kedah mahu terus berjuang

Perebutan Naib juara Liga Super : Kedah mahu terus berjuang

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain mengakui lega dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Kuala Lumpur City pada aksi Liga Super 2023 pada Sabtu.

Menurutnya, setiap perlawanan penting untuk meraih tiga mata pada baki lima perlawanan akhir liga dalam usaha untuk memberi tekanan kepada Selangor FC yang berada di tangga kedua.

“Syukur kerana dalam lima perlawanan terakhir ini, tiga mata sangat penting. Permainan malam ini sangat baik dan bermain seperti yang dirancang dan beraksi penuh sabar meskipun tanpa empat tonggak tetapi pemain dari mula sampai akhir bermain secara satu pasukan dan kekalkan penguasaan dan tiga mata ini sudah cukup.

“Kami sedar KL City adalah pasukan yang sukar. Mereka lebih berdisiplin pada separuh masa pertama dan lebih menyerang pada babak kedua dan kami sabar, tidak gopoh dan tidak boleh kehilangan bola,” katanya.

Ujar Nafuzi, perebutan tempat kedua jika dilihat situasi sekarang lebih memihak kepada Selangor FC.

Namun, Sang Kenari juga mempunyai sasaran dan berada di landasan betul tepat menuju ke penghujung dan berharap semua pemainnya terus konsisten.

“Kami akan berjuang sampai akhir musim walaupun tahu ianya sukar tetapi tidak mustahil dan bergantung pada pemain,.

“Sebelum bertemu Selangor, kami perlu berhadapan Negeri Sembilan dan Kelantan terlebih dahulu dan kita perlu menang kedua-dua aksi ini. Saya rasakan penentuan akan berlaku pada perlawanan terakhir iaitu ketika menentang Sabah,” katanya lagi.

Menurutnya, tumpuan pasukannya kini memberikan fokus kepada Liga Super dan juga Piala Cabaran kerana mengakui mahukan piala itu.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com