Thursday, 12, December, 2024
Utama Negeri “Saya tak sangka mangsa maut isteri, ibu mentua”

“Saya tak sangka mangsa maut isteri, ibu mentua”

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Seorang suami tidak menyangka isterinya yang hamil lima bulan dan ibu mentua maut apabila kereta Perodua Bezza yang dinaiki mereka dipercayai dirempuh sebuah lori tanah di Jalan Kolon, Pokok Sena, di sini pada pagi Ahad.

Ismail Mohamad, 28, berkata isterinya, Nadzifah Abu Seman, 28 dan ibu mentua, Romadiah Ismail, 65, dalam perjalanan ke sebuah hospital swasta bagi menjaga kakak iparnya yang dirawat akibat masalah kesihatan.

Menurutnya, pada awalnya dia mahu menghantar mereka ke hospital tapi isterinya tidak mahu menganggunya yang sedang bekerja dan memandu sendiri kereta milik kakak ke sana.

“Ketika kejadian saya berada di tempat kerja yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi kemalangan dan menerima klip video di WhatsApp yang menunjukkan sebuah kereta berwarna biru kemalangan.

“Saya tergerak hati untuk telefon isteri tapi tiga kali panggilan tak dijawab dan kakak pula maklumkan mereka belum sampai. Jadi kerana tak sedap hati, saya ke tempat kejadian sebelum mendapati isteri dan ibu yang terlibat dalam kemalangan maut itu,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini pada Ahad.

Kemalangan yang berlaku 9.55 pagi itu turut mengakibatkan dua lagi kenderaan iaitu sebuah kereta Perodua Axia dan sebuah Toyota Hilux.

Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminudin Abd Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 9.59 pagi.

Beliau berkata, tiga pasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Pokok Sena dan Kuala Nerang tiba di lokasi tidak lama kemudian untuk memberi bantuan.

“Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah menerima panggilan melalui MERS 999 memaklumkan terdapat mangsa tersepit dalam kemalangan itu.

“Setibanya di lokasi didapati terdapat empat buah kenderaan iaitu sebuah lori tanah 10 tan, sebuah kereta Perodua Bezza, sebuah Perodua Axia dan Toyota Hilux.

“Pihak Bomba dimaklumkan terdapat tiga mangsa tersepit dalam dua kenderaan dan kesemua mangsa dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Aminudin berkata, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, tindakan seterusnya yang dilakukan anggota Bomba adalah dengan melakukan kerja pembersihan jalan bagi memastikan keadaan selamat.

“Operasi tamat pada jam 12.07 tengahari,” katanya.

Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) .

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com