Monday, 29, April, 2024
Utama Negeri Kapal pengangkut ditahan, bersauh tanpa kebenaran

Kapal pengangkut ditahan, bersauh tanpa kebenaran

oleh Ammar Haziq

KUALA MUDA- Satu vesel jenis kapal pengangkut telah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Kedah kerana bersauh tanpa kebenaran di kedudukan 15 batu nautika barat Kuala Muda, Kedah, pada 5.45 petang, Selasa lalu.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, kapal yang berdaftar atas nama MV Stellar Enguri dari Liberia ditahan bot ronda Maritim Malaysia hasil pengesanan melalui Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) Langkawi, Kedah.

Pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 491 B (1) (I) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran dari Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

Jika disabitkan kesalahan, kapal terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.

Pihak Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan orang ramai bagi melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui saluran talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com