Monday, 29, April, 2024
Utama Negeri Empat seludup PATI bagi kegiatan REE, berdepan hukuman penjara seumur hidup

Empat seludup PATI bagi kegiatan REE, berdepan hukuman penjara seumur hidup

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Empat individu disyaki bertindak sebagai ejen dan menyeludup 52 pendatang tanpa izin (PATI) untuk kegiatan perlombongan sumber mineral unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik.

Empat individu itu bakal berhadapan tindakan penjara seumur hidup jika disabit kesalahan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, kesemua tangkapan berusia antara 21 hingga 60 tahun itu disyaki menguruskan kemasukan PATI warganegara Myanmar yang kemudiannya dieksploitasi menjadi buruh di kawasan perlombongan berkenaan.

Menurutnya, keempat-empat suspek telah dituduh di Mahkamah Sesyen Baling dengan 18 pertuduhan berasingan di bawah Seksyen 12, 14 dan 26B(a) ATIPSOM 2007 dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan kepada kesemua tertuduh dan sebutan semula kes akan diadakan pada 20 Ogos depan.

Jelas Fisol, tuduhan yang dikenakan susulan penahanan semua suspek warga tempatan termasuk seorang wanita yang dipercayai terlibat dalam kes berkenaan pada 21 Jun lalu dan polis sedang mengesan seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun yang dipercayai dalang utama.

“Kita siasat dia di bawah seksyen 182 membuat laporan palsu dan bila kita siasat dia juga merupakan orang yang bertanggungjawab dengan keempat-empat yang lain. Kita mendapat maklumat daripada 52 tadi mengatakan ini lah (empat suspek) yang bertanggungjawab membawa mereka ke sini (lokasi perlombongan),” kata.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah pada Khamis.

Jelas Fisol lagi, polis turut merampas beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk melombong REE secara manual bersama lebih empat guni yang berisi bahan mineral disyaki nadir bumi seberat lebih kurang 99 kilogram.

Menurutnya, barang rampasan yang disyaki nadir bumi itu telah dihantar ke Makmal Geosains Ipoh, Perak untuk dianalisa bagi pengesahan kandungan.

Pada Febuari lalu, seramai 52 lelaki ditahan kerana disyaki melakukan penerokaan REE secara haram di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik dan operasi yang diketuai Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) itu turut merampas peralatan dan mesin yang dipercayai digunakan untuk kegiatan berkenaan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com