Saturday, 27, July, 2024
Utama Ekonomi BDB catat pendapatan lebih RM300 juta dalam tempoh tujuh tahun

BDB catat pendapatan lebih RM300 juta dalam tempoh tujuh tahun

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR– Bina Darulaman Berhad (BDB) mempamerkan prestasi yang cemerlang bagi tahun kewangan 2023 dengan mencatatkan pendapatan sebanyak RM313.1 juta yang merupakan yang tertinggi sejak tahun 2016.

Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, Raja Shahreen Raja Othman berkata, pencapaian tersebut turut menyaksikan BDB mencatatkan pendapatan melebihi RM300 juta buat kali pertama dalam tempoh tujuh tahun serta menunjukkan pertumbuhan kukuh sebanyak 35.3% berbanding RM231.4 juta pada tahun kewangan 2022.

Menurut beliau, segmen Kejuruteraan, Pembinaan & Kuari merupakan penyumbang utama kepada peningkatan tersebut selepas mendapat manfaat penuh daripada pemulihan daripada pandemik sebelum ini di mana anak syarikat milik penuh, BDB Infra Sdn. Bhd. telah memperoleh kontrak penyelenggaraan jalan negeri bernilai RM204 juta daripada Kerajaan
Kedah serta kontrak RM34.1 juta daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk sistem pengairan tertier di Kedah.

“Manakala dalam segmen hartanah pula menyaksikan pelancaran lima projek pembangunan di Bandar Darulaman, Jitra, Darulaman Saujana di Hosba, dan Aman Nusa, serta pembukaan semula Darulaman Sanctuary yang mana kedua-duanya di Langkawi.

“Dalam tempoh tersebut, Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) meningkat sebanyak 61.1% kepada RM14.5 juta, dipacu oleh pendapatan yang lebih tinggi daripada operasi di Kuari Bukit Perak, Pendang dan Kuari Gemi Puncak, Langkawi serta sumbangan daripada projek usaha sama di Kubang Pasu dan Sungai Petani.

“Walaupun margin Untung Kasar menunjukkan jumlah yang lebih rendah iaitu 17.1% berbanding 20.8% pada tahun sebelumnya yang disebabkan oleh beberapa faktor seperti kenaikan kos bahan, kekurangan tenaga kerja, dan dasar baru gaji mininum namun begitu Keuntungan Selepas Cukai (PAT) meningkat sebanyak 121.4% kepada RM12.4 juta,” katanya.

Raja Shahreen berkata demikian pada sidang media bersempena Mesyuarat Agung Tahunan BDB ke-29 di Hotel Raia, Alor Setar, Kedah hari ini. Turut hadir Pengerusi BDB, PMgr. Sr. Haji Che Had Dhali, ahli-ahli Lembaga Pengarah BDB dan pengurusan kanan Kumpulan BDB.

Sehubungan dengan itu, Lembaga Pengarah BDB telah mencadangkan dividen sebanyak 1.00 sen sesaham, mewakili peningkatan sebanyak 117.4% berbanding tahun sebelumnya. Dividen yang dicadangkan tersebut berjumlah RM3 juta atau 24% daripada PAT, menunjukkan komitmen BDB memberi ganjaran kepada pemegang saham dan mengekalkan kepentingan
ekuiti mereka dalam syarikat.

Mengulas tentang perancangan syarikat bagi 2024 dan tahun seterusnya, Raja Shahreen menjelaskan bahawa BDB kekal berhati-hati dan optimis di tengah ketidakpastian pasaran serta menekankan kepada sustainability dan prinsip ESG.

BDB turut memberi lebih tumpuan dan penekanan kepada peningkatan ketahanan rantaian bekalan, peningkatan kemahiran tenaga kerja, dan pelaburan dalam penghasilan tenaga boleh diperbaharui untuk memperkasakan BDB bagi pertumbuhan pada masa depan.

Raja Shahreen menjelaskan, di bawah Belanjawan 2024, dengan peruntukan yang lebih tinggi untuk pembangunan infrastruktur, segmen ECQ dijangka boleh mendapat manfaat daripada projek-projek berimpak tinggi seperti di Kulim Hi-Tech Park serta projek bekalan air yang sedang berjalan di Kedah.

“Segmen hartanah turut menerima manfaat daripada inisiatif Kerajaan yang menyokong dan mesra kepada pembangunan mampu milik. Projek perumahan yang dibangunkan oleh BDB dibina di kawasan yang strategik dan padat dengan penduduk dan membolehkan BDB menerima manfaat tersebut.

“Dalam segmen leisure pula, usaha sama yang dijalankan dalam pembangunan eko-pelancongan di Langkawi sejajar dengan hasrat dan sasaran yang ditetapkan Tourism Malaysia turut menyaksikan pertumbuhan jangka panjang yang meyakinkan.

“Dalam pada itu usaha sama dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, merangkumi projek solar dan biomass yang selari dengan matlamat kelestarian Malaysia bakal menyaksikan kewujudan peluang perniagaan baru melibatkan pasaran kediaman, komersial dan Perindustrian,” ujarnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com